Penyaman udara e-cond Evo ke pasaran tiga negara

Keputusan dijangka dimuktamad sebelum Tahun Baharu Cina

Berita Harian - - BISNES - Oleh Suffian A Bakar

Selepas kejayaan menerokai pasaran China, WKL Eco Earth Sdn Bhd, pengeluar penyaman udara menggunakan sistem pengawalan pelepasan haba (HECS) pertama dunia, dijangka memasuki tiga pasaran baharu, iaitu Vietnam, Thailand dan India tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dr Low Wai Koon, berkata rundingan dengan wakil daripada tiga negara itu dijangka dimuktamadkan sebelum sambutan Tahun Baharu China bagi membolehkan produk itu mula dipasarkan pada separuh pertama tahun ini.

“Terdapat dua aspek dalam rundingan ini. Ada yang mahu menjadi pengedar utama dan ada yang mahu membeli harta intelek (IP) daripada kami bagi membolehkan penyaman udara itu dikeluarkan di negara masingmasing,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media pada majlis perasmian pusat penyelidikan dan kilang pengeluaran Kumpulan Eco Earth di Taman Teknologi Sunway Damansara di Petaling Jaya, Sabtu lalu.

Pada majlis sama, beliau turut melancarkan tiga model penyaman udara baharu, iaitu Auto King, Indoor Queen dan Jess Multipurpose.

Sasar pendapatan RM26 juta

Wai Koon berkata, pihaknya menyasarkan meraih pendapatan sekurang-kurang RM26 juta pada 2019 daripada penjualan sekurang-kurangnya 44,000 unit penyaman udara yang dibangunkan syarikat itu.

“Sebanyak 30,000 unit adalah bagi pasaran China, manakala baki 14,000 pasaran tempatan. Ia adalah anggaran konservatif kerana ia tidak mengambil kira jualan di tiga pasaran baharu itu,” katanya.

Pembukaan pusat penyelidikan dan kilang pengeluaran itu menandakan kemunculan inovasi Wai Koon yang dimulakan sembilan tahun lalu.

Inovasi e-cond EVOTM by WKL, sistem penyaman udara mesra alam pertama menggunakan teknologi kepakaran HECS bagi mengawal suhu dan jumlah haba yang dipindahkan dari sistem penyaman udara ke alam sekitar, sekali gus membolehkannya mencapai persekitaran yang mampan.

Guna sistem penyejukan HRS

Wai Koon yang juga adalah pencipta dan aktivis alam sekitar menjelaskan, e-cond EVOTM by WKL menggunakan sistem penyejukan hidro-penyejukan inovatif (HRS) yang menyepadukan proses penyejatan penyejukan dengan kitaran penyejukan untuk mencapai prestasi penyejukan optimum kira-kira +/- 23 darjah selsius.

Ciptaan itu mencapai kemampanan alam sekitar melalui pengurangan haba yang dihasilkan; pengurangan aliran udara; dan pengurangan penggunaan tenaga.

“Ia inovasi baharu dalam industri. Kami yakin sistem itu akan menjadi pilihan global masa depan,” katanya sambil menambah kedua-dua teknologi dan sistem penyaman udara itu sudah dipatenkan di Malaysia dan dalam proses mendapatkan paten di luar negara.

[ FOTO AZIAH AZMEE / BH ]

Wai Koon (tiga dari kiri) pada majlis perasmian pusat penyelidikan dan kilang pengeluaran Kumpulan Eco Earth di Taman Teknologi Sunway Damansara di Petaling Jaya, Sabtu lalu.

Wai Koon menunjukkan model baharu penyaman udara keluaran syarikatnya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.