Usaha murid penentu kejayaan dalam PPSR

Berita Harian - - DIDIK -

Kuala Lumpur:

Penguasaan asas dalam sesuatu mata pelajaran penting bagi memudahkan murid itu menjawab pelbagai tahap kesukaran soalan yang diuji.

Pegawai Teknikal Koakademik Bahasa Melayu Perak, Encik Yusrizal Mokhlas, berkata bagi karangan Bahasa Melayu, murid perlu diperkukuhkan dengan teknik mengarang yang baik bagi memastikan golongan itu mampu menghasilkan karangan bermutu.

Katanya, murid juga perlu banyak membaca, selain menguasai perbendaharaan kata.

“Membaca dapat menambah ilmu dan membantu seseorang memperluaskan pengetahuan untuk digunakan bukan sahaja dalam kehidupan seharian, sebaliknya dalam silibus setiap mata pelajaran.

“Sama seperti dalam karangan yang tidak hanya terikat dengan perkataan tertentu, sebaliknya murid boleh mengambil contoh isu semasa melalui pembacaan yang pelbagai,” katanya.

Selain itu, Encik Yusrizal berkata, murid juga perlu mengambil berat akan penguasaan peribahasa dan simpulan bahasa.

Katanya, guru boleh memperbanyakkan kuiz peribahasa dan simpulan bahasa bagi membantu penguasaan murid dalam Bahasa Melayu.

“Murid juga boleh mengambil inisiatif dengan memahami peribahasa melalui bentuk lirik atau simpulan bahasa, seterusnya melagukan mengikut melodi yang sesuai.

“Buatlah catatan peribahasa yang berkaitan atau paparkan peribahasa di pelbagai tempat,” katanya.

Kuasai formula

Sementara itu, Guru Sains Tahun Enam Sekolah Kebangsaan Taman Midah 2 (SKTM2), Encik Mohd Yusri Mat Yasin, berkata calon Pelaporan Pentaksiran Sekolah Rendah (PPSR) tahun ini perlu mempersiapkan diri mengulang kaji formula atau fakta penting dalam mata pelajaran itu.

“Sains memerlukan pengetahuan fakta tepat. Murid perlu memahami kehendak soalan dan ada sesetengah soalan sudah pun menyediakan kata kunci jawapan dengan hanya memerlukan calon menulis semula pada kertas jawapan.

“Kertas 2 Sains menyediakan soalan lebih terbuka dengan pelbagai soalan Sains yang menguji pemikiran murid berbentuk Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT).

Beliau berkata, penguasaan murid dalam mata pelajaran Sains juga bermula dari rumah kerana Sains bertindak sebagai cabang ilmu sosial dalam kehidupan seharian manusia.

Encik Yusrizal Mokhlas

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.