Tadbir negeri dengan telus, berintegriti

Tuanku Muhriz sangat prihatin, sentiasa ikuti perkembangan rakyat: Aminuddin

Berita Harian - - DIDIK - Oleh Tuty Haryanti Ahmad Rodzi

Kerajaan negeri akan mentadbir serta menyelaras agenda pentadbiran dan ekonomi dengan lebih baik di bawah naungan Yang di-pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.

Menteri Besar, Aminuddin Harun, berkata Tuanku Muhriz seorang yang sangat prihatin dengan rakyat dan sentiasa melihat masalah, terutama masalah sosial dan agama sebagai sesuatu yang perlu diberi perhatian.

Justeru katanya, pengalaman Tuanku Muhriz itu akan dapat membantunya untuk mentadbir Negeri Sembilan dengan lebih baik walaupun bertukar kerajaan sejak lebih tujuh bulan lalu.

“Setiap kali bertitah, Tuanku sering menasihati kerajaan supaya menjalankan tugas dengan berintegriti dan telus, supaya rakyat dapat menikmati hasil pembangunan negeri.

“Selain itu Tuanku sering menasihati kerajaan supaya sentiasa mendekati dan membela nasib rakyat.

“Nasihat sedemikian jelas menunjukkan Tuanku seorang yang prihatin dan sentiasa mengetahui perkembangan rakyat,” katanya ketika ditemui di Kediaman Rasmi Menteri Besar di sini.

Mudah didekati rakyat

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sikamat itu berkata, pertemuan beliau dengan Tuanku setiap minggu bagi memaklumkan keadaan semasa negeri juga berjalan dengan lancar.

Katanya, Tuanku Muhriz seorang yang mudah didekati, mesra, memahami masalah rakyat dan sentiasa memberi teguran membina.

“Saya amat berharap hubungan baik antara rakyat serta kerajaan negeri dengan Tuanku terus dipelihara supaya sentiasa aman dan harmoni

“Malah, hubungan baik ini juga dapat menjamin sistem raja berperlembagaan supaya terus berjalan dengan baik.

“Di kesempatan ini, saya mewakili rakyat Negeri Sembilan merafak sembah menjunjung kasih sempena Hari Keputeraan Tuanku Yang Ke-71, serta mengharapkan Tuanku sentiasa dalam rahmat Ilahi untuk terus memacu negeri penuh beradat ini,” katanya.

Aminuddin berkata, sempena Hari Keputeraan Tuanku Yang Ke71 hari ini, pelbagai program diaturkan sepanjang bulan ini sehingga Februari.

Katanya, sambutan hari keputeraan itu sebagai menzahirkan prinsip Rukun Negara yang kedua iaitu kesetiaan kepada raja dan negara.

“Program pembukaan bagi sambutan itu adalah Negeri Sembilan Berselawat yang diadakan di Padang Seri Menanti, Kuala Pilah pada Khamis lalu.

Persembahan kumpulan Qasidah al-magharibah

“Program inisiatif kerajaan negeri itu menampilkan persembahan yang berlainan berbanding tahun lalu apabila mengundang kumpulan Qasidah al-magharibah dari Maghribi untuk membuat persembahan bersama kumpulan Qasidah dari negeri ini.

“Turut diundang adalah pentausiyah khas Sheikh Mohib Khouli yang berasal dari Syria dan kini bermastautin di Terengganu.

“Majlis berselawat itu diadakan sebagai tanda rakyat Negeri Sembilan mencintai Nabi Muhammad selain mengharapkan keberkatan dan rahmat daripada Ilahi,” katanya.

Program lain yang diadakan termasuk Istiadat Kawalan Kehormat Utama; Konsert Diraja; majlis tahlil dan doa selamat; sukan rakyat dan jamuan rakyat.

“Tuanku Muhriz turut berkenan mencemar duli bersama rakyat menyertai program yang diaturkan sehingga bulan hadapan.

“Ini yang dikatakan Raja dan rakyat berpisah tiada apabila Tuanku Muhriz sendiri akan bersama rakyat memeriahkan program yang akan diadakan,” katanya.

[FOTO IQMAL HAQIM ROSMAN /BH]

Tuanku Muhriz bersama Tuanku Aishah Rohani berkenan hadir pada majlis Perasmian Ibu Pejabat Polis Daerah Jempol, Negeri Sembilan. Yang hadir sama, Aminuddin dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.