MVV 2.0 rancakkan pembangunan

Kerajaan berperanan pemudah cara bagi projek diterajui syarikat swasta

Berita Harian - - DIDIK - Oleh Tuty Haryanti Ahmad Rodzi

Kedudukan Negeri Sembilan yang strategik menjadi tarikan utama pelabur tempatan dan luar negara untuk memulakan perniagaan atau membuka operasi perkilangan.

Negeri ini tidak jauh dari ibu negara, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Pelabuhan Klang, Super Koridor Multimedia Cyberjaya dan pusat pentadbiran Kerajaan Persekutuan di Putrajaya.

Malah, kos pembangunan industri di negeri yang terkenal dengan Adat Perpatih ini juga, lebih rendah berbanding kawasan perindustrian lain di Lembah Klang.

Kemakmuran Negeri Sembilan di bawah naungan Yang di-pertuan Besar, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir juga merancakkan pembangunan ekonomi melalui pelbagai pembangunan yang dirancang dan dilaksanakan kerajaan.

Kedamaian dan keharmonian yang dikecapi membolehkan kerajaan menjalankan usaha membangunkan negeri dan mensejahterakan rakyat.

Ekonomi negeri berkembang dan berada di landasan yang tepat menerusi Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Negeri Sembilan dan KDNK per kapita yang mencatatkan peningkatan membanggakan setiap tahun.

Pembangunan Lembah Wawasan Malaysia 2.0 (MVV 2.0) di bahagian barat Negeri Sembilan yang dijangka dapat menarik pelaburan bernilai RM294 bilion dalam tempoh 30 tahun sebagai contoh usaha yang dilakukan untuk meningkatkan ekonomi dengan sasaran pelaburan antarabangsa dan tempatan sekurang-kurangnya RM1 bilion setahun.

Tawar 10,000 peluang kerja

Pelaburan dari dalam dan luar negara itu dijangka dapat meningkatkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negeri sebanyak tiga sehingga empat peratus setahun.

Projek pembangunan metropolis bertaraf dunia yang kompetitif, inklusif dan bersih itu juga bakal mewujudkan lebih 600,000 peluang pekerjaan menjelang 2045.

Sekurang-kurangnya 10,000 peluang pekerjaan ditawarkan menerusi fasa pertama projek industri berteknologi tinggi di kawasan seluas 1,214 hektar di Nilai.

Pembangunan membabitkan kawasan Seremban dan Port Dickson seluas 153,411 hektar itu turut memberi tumpuan kepada pembangunan pemangkin, faedah ekonomi dan sosial serta aspirasi kelestarian alam sekitar.

MVV 2.0 memberi tumpuan pembangunan kepada empat pemacu ekonomi, iaitu industri berteknologi tinggi; perkhidmatan dan pelancongan; pendidikan dan penyelidikan berasaskan kemahiran serta aktiviti berkaitan hab logistik, penerbangan dan maritim.

Pembangunan yang diberi nafas baharu selari dengan inspirasi kerajaan untuk mewujudkan peluang pekerjaan dan mempromosi industri berteknologi tinggi itu, bakal dipacu sepenuhnya oleh pihak swasta.

Kerajaan jadi pemudah cara

Kerajaan pula akan memainkan peranan sebagai fasilitator atau pemudah cara kepada pelaksanaan projek. Ketika ini Sime Darby Property menerusi MVV Holdings bersetuju menjadi pemaju untuk melaksanakan projek utama di kawasan terbabit.

Syarikat itu merancang membangunkan taman berteknologi tinggi dan perindustrian menjelang 2020 di tanah berkeluasan 1,148 hektar di kawasan pembangunan MVV 2.0.

Malah Sime Darby Property akan melaksanakan projek berkenaan sebagai pemaju induk yang membolehkan syarikat itu meningkatkan nilai simpanan tanah di kawasan terbabit.

Pembinaan taman berteknologi tinggi dan perindustrian di Labu itu adalah antara enam projek utama yang akan diberi tumpuan menerusi fasa pertama pembangunan.

Fasa kedua pula adalah berdasarkan kepada cadangan yang dinyatakan menerusi Rancangan Pembangunan Komprehensif MVV 2.0 yang diumumkan.

Port Dickson bandar pelancongan yang menjadi tarikan ketika berkunjung ke Negeri Sembilan.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.