Pemilik ternakan berkeliaran tak hirau arahan PBT

Berita Harian - - WILAYAH -

Seremban: Biarpun penguatkuasaan dan tangkapan besar-besaran haiwan ternakan yang berkeliaran dilaksanakan pihak berkuasa tempatan (PBT), namun masih banyak aduan diterima.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Sumber Manusia, Perladangan dan Hal Ehwal Bukan Islam negeri, J Arul Kumar, berkata ia jelas membuktikan pemilik ternakan tidak mengambil peduli arahan yang dikeluarkan pihak berkuasa.

“Pemilik masih berdegil dan tidak mengikut peraturan yang ditetapkan.

“Bukan itu sahaja, mereka juga tidak mementingkan keselamatan orang ramai dengan membiarkan haiwan ternakan berkeliaran di jalan raya.

Masih banyak aduan diterima

“Penguatkuasaan sudah dibuat, tetapi masih banyak aduan diterima. Oleh itu, kita akan mengadakan mesyuarat bersama PBT dan agensi berkaitan untuk mencari jalan penyelesaian terbaik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai pelaksanaan tangkapan haiwan ternakan khususnya lembu dan kerbau yang dijalankan sejak Oktober tahun lalu.

Arul Kumar berkata, selain operasi tangkapan yang dilakukan PBT, pihaknya turut meminta kerjasama agensi lain untuk mengambil tindakan terhadap pemilik haiwan berkenaan.

Tangkapan haiwan ternakan

Akhbar sebelum ini melaporkan kerajaan negeri akan menjalankan tangkapan haiwan ternakan yang berkeliaran di jalan utama susulan kemalangan yang meragut nyawa dua pelajar sekolah akibat terlanggar lembu di Mantin.

Dua pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Mantin itu meninggal dunia 14 September lalu apabila motosikal ditunggangi terlanggar lembu ketika melalui jalan Desa Pinggiran Bayu menuju ke Kampung Sungai Jai.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.