Hafaz al-quran asas tradisi ilmu Islam

Berita Harian - - AGAMA -

Kedudukan pengajian tahfiz di negara ini sering disalah anggap sehingga dilihat sebagai kemuncak dalam pendidikan, iaitu pandangan yang berbeza sama sekali dalam konteks tradisi keilmuan Islam.

Pengerusi Ikatan Ilmuwan Ahli Sunnah Wal Jamaah Malaysia (ISLAMI) Putrajaya, Mohd Gunawan Che Ab Aziz, berkata pengajian tahfiz menurut tradisi keilmuan Islam berada pada peringkat permulaan atau sebagai satu asas dalam pendidikan.

Oleh itu, kata Mohd Gunawan, ramai dalam kalangan sarjana besar seperti tokoh perubatan Islam, Ibnu Sina menghafaz al-quran terlebih dahulu sebelum cemerlang dalam ilmu perubatan.

Katanya, hal sama berlaku kepada sarjana Islam terkemuka seperti Imam Shafie dan Imam alGhazali yang menghafaz al-quran sebelum meneruskan pengajian dalam bidang lain dan menguasainya, sekali gus menjadi model yang perlu difahami di negara ini.

Di Malaysia, umat Islam cenderung menganggap pengajian tahfiz sebagai kemuncak pendidikan sehingga menghafaz al-quran dianggap sebagai mencukupi, sedangkan ia berperanan sebagai permulaan sebelum meneroka ilmu lain.

Mohd Gunawan berkata, pelajar tahfiz di negara ini perlu turut memikirkan usaha melanjutkan pengajian selepas tamat hafazan al-quran.

“Kuasai ilmu pengajian Islam pada peringkat lebih tinggi termasuk mendalami kitab Turath, iaitu kitab warisan ulama yang muktabar dalam ilmu.

“Lebih baik sekiranya mereka boleh mendalami ilmu itu sehingga ke peringkat daurah hadis (peringkat sarjana) dan kemudian bertakhasus atau mendalami sesuatu bidang seperti tafsir, hadis, fiqh dan kalam hingga menjadi ilmuwan yang benar-benar berkaliber dan kukuh ilmunya.

“Seorang hafiz itu mulia kerana kemuliaan al-quran yang ‘dibawa’, tetapi dari aspek kemampuan ilmiahnya, tidak memadai hanya mencapai tahap itu,” katanya kepada BH, ketika ditemui di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Selain ilmu pendidikan Islam, Mohd Gunawan berkata, bukan menjadi masalah jika ada yang memilih mendalami bidang fardu kifayah lain seperti kejuruteraan, perubatan atau perakaunan.

Pembentukan akhlak

“Tidak kira bidang apa yang dipilih sekalipun, mereka tidak boleh memisahkan diri dengan tujuan pendidikan itu sendiri,” katanya.

Pada masa sama, Mohd Gunawan ketika menjawab soalan mengenai sebahagian pelajar tahfiz yang tidak lagi memesrai ilmu alquran apabila tamat pengajian berkata, pendidikan tahfiz di negara ini perlu turut memberi penekanan kepada isian berbentuk tarbiah dan takdib.

Isian itu katanya memerlukan pusat tahfiz untuk tidak hanya menumpukan kepada hafazan alquran pelajar semata-mata, sebaliknya turut menekankan kepada pembentukan sahsiah beradab dan berakhlak mulia.

Menurut Mohd Gunawan, penekanan kepada pendekatan mentarbiah, menjaga dan membentuk adab yang tinggi terhadap pelajar melahirkan manusia yang kamil.

Katanya, pelajar tahfiz perlu menjadi manusia yang sempurna dari aspek kefahaman dan amalan terhadap suruhan Allah SWT dan wahyu-nya, malah berakhlak dan bersahsiah tinggi.

“Bagaimanapun, faktor suasana juga adalah hal yang penting dan akan mempengaruhi seseorang tidak kiralah pelajar tahfiz atau tidak.

“Saya kira isu pelajar tidak memesrai akhlak Al-quran ini bukan berlaku pada sekolah tahfiz sahaja malah pelajar sekolah agama, Arab termasuk pendidikan akademik biasa.

“Bukankah tujuan pendidikan itu untuk lahirkan insan yang sempurna, jadi isu ini perlu dilihat secara keseluruhan dan bukan hanya kepada madrasah tahfiz saja,” katanya.

Fahami tujuan belajar

Pada masa sama, Mohd Gunawan turut meminta semua pihak sama ada pentadbir pusat tahfiz atau mereka yang memilih belajar di situ supaya bersama-sama memahami tujuan sebenar mereka.

“Dari situ barulah dapat diwujudkan suasana yang benar-benar dapat melahirkan manusia berakhlak dan bersahsiah tinggi.

“Ini penting supaya pelajar ini nanti bukan sekadar berakhlak soleh malah menjadi ejen kepada tersebarnya kebaikan terutamanya selepas mereka menamatkan pengajian tahfiz,” katanya.

[FOTO HIASAN]

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.