Cabaran kembalikan reputasi DBP

Pengalaman Abang Sallehuddin mampu martabat bahasa Melayu

Berita Harian - - SASTERA&BUDAYA - Oleh Siti Haliza Yusop

Pelantikan Datuk Abang Sallehuddin Abang Shokeran sebagai Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Ke-12, melenyapkan kegusaran orang bahasa dan sastera yang khuatir jawatan itu diisi orang luar.

Sebelum ini timbul polemik mengenai individu yang akan mengisi jawatan itu dan kerisauan paling utama jika badan bahasa berkenaan diisi individu daripada luar bidang itu yang boleh merencatkan fungsi DBP sebagai badan bahasa negara yang penting.

Sebagai Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) DBP sebelum dilantik ke jawatan baharu, pemilihan Abang Sallehuddin dilihat bertepatan, terutama berdasarkan pengalamannya berkhidmat lebih tiga dekad bersama DBP.

Meskipun pelantikan itu disambut baik, rata-rata aktivis dan pengarang menyifatkan Abang Sallehuddin berdepan cabaran besar, terutama mengangkat semula reputasi DBP yang disifatkan sebagai sedikit merudum.

Presiden Persatuan Karyawan Sastera Sarawak (PEKASA), Dilah Tuah yang turut menyambut baik pelantikan itu menyifatkan cabaran terbesar Abang Sallehuddin mengangkat dan memartabat hal bahasa bermula di tempat kelahirannya sendiri, Sarawak.

Dilah berkata, dalam konteks Sarawak, pelaksanaan bahasa Melayu belum berlaku sepenuhnya, malah bahasa Inggeris sehingga kini masih digunakan sebagai bahasa rasmi negeri.

“Apa yang berlaku di Sarawak tentu memberi kesan dalam memastikan agenda bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dapat dilaksanakan di seluruh negara.

“Hari ini, jika dibuat tinjauan, ramai orang akan memilih bahasa Inggeris di negeri itu.

“Justeru, sebagai Ketua Pengarah DBP dan anak Sarawak, saya kira ini menjadi tugas besar beliau dalam memikirkan cara mencapai penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan di negeri berkenaan,” katanya.

Abang Sallehuddin dilantik Ketua Pengarah DBP Ke-12 menggantikan Datuk Adzis Abas.

Sementara itu, Ketua Satu Persatuan Penulis Johor (PPJ), Amiruddin Md Ali Hanafiah, berkata pihaknya yakin kewibawaan Abang Sallehuddin menerajui institusi bahasa dan persuratan itu dengan cemerlang, apatah lagi dengan pengalaman luasnya di DBP.

“Pengalaman itu tentu aset penting dalam menjadikan DBP organisasi berjaya, disegani dan dihormati.

“Sebagai pemimpin dalam institusi bahasa dan persuratan lebih 35 tahun tentu beliau arif dan faham dengan situasi DBP sejak mula ditubuhkan sehingga kini,” katanya.

Beliau berkata, pelantikan itu tentu mengambil kira pelbagai kriteria kelebihannya berbanding calon lain kerana pemilihan Ketua Pengarah DBP kali ini melalui proses saringan awal dan temu duga.

Teruskan turun padang

“PPJ berharap beliau meneruskan tradisi ‘turun padang’ dan menjalin hubungan dengan pelbagai kegiatan dalam gerakan bahasa seperti dilakukan sebelum ini,” katanya.

Turut senada ialah Yang Dipertua Badan Bahasa dan Sastera Sabah (BAHASA), Datuk Jasni Matlani yang menyifatkan Abang Sallehuddin calon tepat mengisi jawatan itu ditambah dengan pengalaman serta pengetahuannya mengenai perkembangan bahasa dan sastera di negara ini.

“Beliau berpengalaman serta banyak mengetahui perkembangan bahasa dan sastera di negara ini, selain mempunyai visi dalam membangun masa depan bahasa dan sastera bukan sahaja di Semenanjung, tetapi juga di Sabah dan Sarawak.

“Kami berharap perkembangan bahasa dan sastera termasuk industri penerbitan akan lebih menyerlah dan memperlihatkan impak tinggi ketika beliau menerajui DBP,” katanya

Tambah Jasni, pemilihan itu juga menunjukkan tokoh dari Sabah dan Sarawak berkeupayaan menerajui badan yang bertanggungjawab terhadap bidang bahasa dan sastera pada era yang semakin mencabar ini.

Sementara itu, Pemangku Presiden Persatuan Penyair Malaysia (PENYAIR), Datuk Dr Radzuan Ibrahim, berharap Abang Sallehuddin dapat memacu DBP ke arah lebih banyak usaha untuk memartabat dan meningkatkan penggunaan bahasa Melayu yang betul.

“Ini sesuai dengan kedudukannya sebagai bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan negara dalam setiap sektor, sama ada di pejabat kerajaan atau swasta dan seterusnya dalam kalangan masyarakat secara keseluruhannya.

“PENYAIR juga berharap DBP diberikan kuasa penguatkuasaan undang-undang yang lebih luas dalam usaha memantau dan memastikan penggunaan bahasa kebangsaan dapat berlangsung secara betul dan menyeluruh,” katanya.

Abang Sallehuddin

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.