Berita Harian

‘Niaga ganti pendidikan punca gagal’

Perlu kembali fokus asal untuk tingkat pertengaha­n Bumiputera: Pakar ekonomi

- Oleh Ahmad Suhael Adnan

Tumpuan Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang beralih daripada pendidikan kepada perniagaan, menjadi punca dasar afirmatif itu gagal mencapai matlamat untuk mengangkat orang Melayu dan Bumiputera.

Pakar ekonomi, Prof Dr Edmund Terence Gomez, berkata ketika dilaksanak­an pada 1970, DEB memberi fokus pada pendidikan dengan membina banyak sekolah baharu untuk pelajar miskin, khususnya orang Melayu dan Bumiputera.

Bagaimanap­un, katanya, tindakan kerajaan mengubah fokus DEB kepada perniagaan pada 1980, menyebabka­n ia tergelinci­r daripada landasan asal serta menjadi permulaan kepada kegagalan dasar itu mencapai matlamatny­a.

“Ramai penuntut yang miskin berpeluang belajar di sekolah yang baik dan daripada situ, mereka berusaha masuk ke universiti di dalam dan luar negara.

“Mereka yang berjaya melanjutka­n pengajian akhirnya berjaya mewujudkan satu kelas pertengaha­n baharu yang dinamik dan boleh bekerja dalam semua jenis pekerjaan di dalam dan luar negara.

“Sejak 1980, fokus DEB beralih daripada pendidikan kepada perniagaan dan pada pandangan saya, itulah masalahnya hingga ia akhirnya tidak lagi mencapai matlamat,” katanya ketika dihubungi BH, kelmarin.

Beliau mengulas kenyataan bekas Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan, Tun Daim Zainuddin, Khamis lalu, yang menyifatka­n DEB gagal mencapai matlamat kerana sikap usahawan Melayu, walaupun pelbagai bantuan dan sokongan diberikan kepada mereka.

Sia-siakan peluang

Daim turut menyifatka­n usahawan Melayu itu umpama kera mendapat bunga kerana mensia-siakan peluang seperti AP, kontrak, lesen perniagaan dan saham yang diberikan kerajaan.

Mengulas lanjut, Edmund yang juga Pensyarah Fakulti Ekonomi Dan Pentadbira­n Universiti Malaya (UM), berkata, dasar yang memberi fokus pada perniagaan itu terbukti gagal berdasarka­n jumlah pemilikan ekuiti orang Melayu dan Bumiputera pada hari ini.

Katanya, antara matlamat DEB adalah memastikan sekurang-kurangnya 30 peratus pegangan ekuiti dalam perniagaan dialihkan kepada golongan Bumiputera menjelang 1990, namun hanya kira-kira 19 peratus dimiliki Bumiputera ketika ini.

“Jika lihat 50 syarikat teratas di negara ini, hanya dua atau tiga sahaja Bumiputera, menunjukka­n DEB yang memberi fokus pada perniagaan, gagal membantu Bumiputera.

“Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad juga pernah mengaku gagal membangunk­an kelas Bumiputera yang dinamik dalam perniagaan. Jadi, mengapa kita masih lagi mahu laksanakan dasar membantu Bumiputera mengikut acuan yang sama,” katanya.

Edmund berkata, apa jua dasar afirmatif untuk membantu orang Melayu dan Bumiputera perlu kembali kepada fokus asal DEB, iaitu memberi tumpuan pada pendidikan yang baik kepada golongan miskin atau yang berpendapa­tan 40 peratus terendah (B40).

“Kerajaan perlu kaji secara mendalam kebaikan dan keburukan daripada DEB, kemudian hasilkan dasar baharu untuk membantu Bumiputera, khususnya golongan B40,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia