Erwin Dawson

Bukan Sekadar Berwajah Kacak

Cosmopolitan (Malaysia) - - CONTENTS -

Kisah cinta jejaka pan-Asian ini bersama pelakon, Julia Farhana sedang hangat diperkatakan. Khabarnya, dia juga sudah bersedia untuk ke fasa seterusnya. Cosmo duduk berbual dengan Erwin untuk cungkil bukan saja tentang perhubungannya, malah lebih lagi.

Rezeki Dalam Industri Seni

Siapa sangka niatnya yang hanya mahu menemani teman baik ke sesi casting akhirnya membuka rezekinya dalam bidang seni. “Saya sendiri tak percaya kerana tak pernah terbayang untuk ceburi bidang ini. Waktu itu program realiti, Anugerah

Skrin sedang mencari pelakon baru dan saya hanya temankan kawan baik, tapi saya pula yang terpilih. Itulah, kalau sudah rezeki memang tak salah alamat,” katanya memulakan bicara.

Selain berlakon, dia kini menjadi pengacara untuk

Feel Good Show yang disiarkan di saluran NTV7. “Rancangan ini mengupas pelbagai topik menarik antaranya yang tular di media sosial, gaya hidup, kesedaran sivik, hiburan, pengurusan kewangan, kesihatan, kecantikan, fesyen dan banyak lagi. Tapi bukan setiap hari saya mengacara. Kami sebagai pengacara akan diberikan jadual. Jika tak mengacara atau habis saja siaran langsung, saya akan lari ke lokasi penggambaran,” jelas jejaka kacukan Melayu Singapura dan New Zealand ini.

Menghidap Kanser

Tenang Cosmo girls, bukan Erwin tetapi watak yang dipegangnya untuk drama terbaru. Katanya, watak sebagai penyakit kanser adalah cabaran baru untuk dia hayati. “Drama Nafas arahan Bahri Umar ini akan bersiaran di NTV7 melalui slot Galamadrama. Kali ini, saya bekerjasama dengan Kilafairy. Turut dibintangi oleh Cristina Suzanne, Fahad Iman, Thanuja Ananthan, Sarah Hildebrand, Donna Muslim, Nadia Brian dan ramai lagi. Jangan lupa tonton ya.”

Apa cabarannya bila diberi tanggunjawab untuk memegang watak utama dalam drama ini? “Saya terpaksa ikuti diet intermittent fasting, berpuasa selama 16 jam dan makan dalam tempoh lapan jam. Selain itu, saya juga kena minum banyak air kosong dan kurangkan makanan berminyak dan gula. Bukan tak boleh makan nasi cuma jika makan nasi proses, penurunan berat badan agak lambat,” jelasnya lagi.

Cosmo dengar Erwin terpaksa botakkan kepala? “Pada awalnya memang

nervous kena botakkan kepala. Tapi kerana masalah teknikal seperti masalah yang berkaitan dengan kontinuiti serta membabitkan masa penggambaran berbeza hari, maka adegan botak dibatalkan. Lega rasanya,” katanya sambil ketawa.

Hati Sudah Dimiliki

Hubungan cintanya bersama Julia Farhana tak perlu diperkatakan lagi. Pasangan ini saling muat naik gambar masingmasing di akaun media sosial mereka. Apa yang buatkan Erwin tertarik dengan Julia? “Dia seorang yang pandai berdikari, kiranya Julia tahu apa yang diinginkan dan tak suka menyusahkan pasangan. Bukan itu saja, saya cukup kagum dengan sikapnya yang bertanggungjawab dan tak kenal erti putus asa. Sukar berkongsi tentang istimewanya Julia memandangkan dia adalah seorang yang sangat istimewa buat diri saya. Kalau boleh kami ingin mempercepatkan perkara baik,” tambahnya.

Sumber Inspirasi

Sebelum akhiri temu bual, sempat Cosmo cungkil siapakah idola Erwin. Kami sangkakan pelakon antarabangsa bertaraf

A-list, yang sama latar belakang dengannya, ternyata sangkaan itu meleset. “Tentunya Christiano Ronaldo!” katanya. “Tak dinafikan dia adalah yang terbaik. Christiano bekerja keras untuk berjaya hingga sekarang. Pada masa yang sama, masih merendah diri dan sering beramal. Dia memberi inspirasi kepada saya untuk menjadi versi terbaik diri sendiri.”

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.