Haziq Hussni HardWork Paid Off!

Cosmopolitan (Malaysia) - - LOVE& MEN RELATIONSHIP -

Cosmo kagum dengan tenaga Haziq sepanjang penggambaran. Tiada langsung kelihatan letih atau moody walaupun baru selesai tugas di stesen radio. “Saya memang banyak cakap dan hyperactive sampai kawan-kawan selalu tanya bila waktu saya duduk diam,” selorohnya. Auranya yang positif membuatkan kami selesa dan segalanya berjalan dengan mudah dan lancar.

Positive Vibes Only

Masih lagi hijau dalam industri hiburan, kerjaya Haziq kini semakin berkembang dan dia menerima banyak tawaran pentas. Bermula sebagai penyampai radio, Haziq meluaskan bakat ke bidang pengacaraan dan nyanyian. “Tipulah kalau saya langsung tak terima kritikan daripada pendengar radio dan penonton. Pada awal kerjaya, jujur saya sedikit terganggu apabila menerima kecaman melampau terutamanya selepas program yang diacarakan tamat. Namun kini saya lebih terbuka dan positif,” kongsinya.

Dia akui ada juga individu-individu di sekelilingnya yang mempertikaikan rezeki yang diterima ketika ini. “Saya anggap kerjaya sekarang adalah sumber rezeki untuk kelangsungan hidup. Orang akan tetap berkata yang bukan-bukan walaupun kamu melakukan perkara baik atau buruk. Jadi, saya tolak tepi perkara negatif supaya boleh bekerja dan berkarya dengan lebih bagus lagi.”

Merupakan graduan jurusan Kewangan Islam, bidang hiburan sememangnya asing buat Haziq. “Saya tak pernah terfikir bidang ini akan menjadi sumber rezeki saya. Saya terima tawaran menjadi penyampai radio kerana saya yakin ada bakat dan mampu lakukannya. Saya bermula dengan kosong dan bekerja keras dengan melakukan banyak research sebagai rujukan. Saya tak suka bandingkan diri dengan sesiapa kerana saya percaya setiap individu ada kelebihan dan bakat tersendiri,” katanya.

Ada Bakat Menyanyi

Di Instagram, Haziq kerap berkongsi video nyanyiannya daripada akaun Smule. “Saya minat menyanyi sejak kecil. Saya pernah hadiri beberapa uji bakat namun belum ada rezeki ketika itu. Tuhan berikan saya jalan lain dahulu namun kini pengikut di Instagram sudah tahu saya ada bakat menyanyi,” kongsinya yang kini dalam proses melancarkan dua single dan salah satunya adalah duet bersama isterinya sendiri, Ayunda Putri.

Menurut Haziq, untuk kekal relevan dalam industri hiburan bukan saja memerlukan bakat dan kerja keras, tetapi sokongan peminat dan pihak media. “Saya pandang setiap peluang sebagai rezeki, bukannya bersikap tamak. Sebab itu saya positif untuk lakukan pelbagai perkara dan tidak terhad menjadi penyampai radio saja,” jelasnya yang turut mengacarakan g pelbagai program TV seperti Borak Kopitiam, Mentor Otai, Muzik-Muzik 2018, Hip Inspirasi dan banyak lagi.

Cipta Sejarah

Walaupun baru lima tahun bergelar penyampai radio, Haziq berjaya membawa pulang trofi Penyampai Radio Paling Popular ABPBH 31 bulan lalu, menewaskan calon favorite – Johan dari radio Era. “Tak sangka saya meraih undian tertinggi. Terima kasih kepada pengundi dan penyokong yang mempercayai bakat saya.”

Baru pertama kali tercalon, katanya trofi kemenangan itu adalah satu tanggungjawab untuk dia terus memberi yang terbaik. “Saya percaya untuk berjaya dalam hidup, selain usaha dan kerja keras, hubungan dengan keluarga sangat penting. Apa guna diangkat tinggi oleh masyarakat dan peminat tetapi tidak menghargai keluarga. Doa isteri dan ibu bapa adalah paling mujarab. Walaupun sibuk, saya tetap akan cuba luangkan masa bersama mereka. Kasih sayang dan sokongan mereka adalah kekuatan saya.”

“Saya bekerja hampir setiap hari termasuk hujung minggu. Kadangkala memang letih fizikal dan mental, tapi apabila memikirkan ini minat saya, terus tak jadi merungut,” akhirinya disambut gelak ketawa. Akui

Haziq, dia tidak pernah terfikir akan menggenggam trofi yang pernah dimenangi nama-nama besar dalam bidang penyiaran radio seperti Fara Fauzana, Halim Othman, Faizal Ismail dan Johan.

SAYA PERCAYA UNTUK BERJAYA DALAM HIDUP, SELAIN USAHA DAN KERJA KERAS, HUBUNGAN DENGAN KELUARGA SANGAT PENTING.”

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.