LELAKI BULAN INI

Remy Ishak

EH (Malaysia) - - SEPINTAS -

Remy Ishak bukan lagi nama asing dalam industri lakonan tempatan. Siapa sangka jejaka berusia 36 tahun ini bermula dalam industri tanpa sebarang latar belakang seni lakon, hanya berbekalkan minat sahaja. Langkahnya mula diatur menerusi filem Anak Halal namun kemunculannya menerusi drama Nur Kasih bersama Tiz Zaqyah disambut luar biasa hinggakan dia berjaya memenangi Pelakon TV Lelaki Popular di Anugerah Bintang Popular Berita Harian ke-23. Bahkan dia juga pernah dinobatkan untuk kategori Pelakon Harapan Lelaki Terbaik dan Pelakon Lelaki Terbaik di Festival Filem Malaysia dua tahun berturut-turut.

Pembuka bicara saya dan Remy berkisar tentang perkembangan terkininya. “Saya sedang sibuk dengan promosi filem Pulang yang dijangka ditayangkan Julai ini. Filem ini berdasarkan kisah benar yang diarahkan oleh Kabir Bhatia dan ditulis oleh Ahmad Izham dan Mira Mustafa yang mana ia mengisahkan seorang nelayan bernama Othman yang menyertai kapal kargo sebagai kelasi pada tahun 1940-an. Selain itu, saya juga dalam pembikinan filem arahan Kabir juga berjudul Sangkar yang turut dibintangi oleh Zul Ariffin. Filem Sangkar berkisahkan dua pelawan MMA (mixed martial art) yang mana karakter saya sentiasa bercanggah dengan karakter lakonan Zul,” jelasnya.

Menurut Remy, projek kegemarannya buat masa sekarang adalah filem Pulang. “Saya rasa filem ini mengikut corak, gaya dan jalan cerita mengikut peredaran masa. Saya lebih gemar filem yang membawa plot storytelling, yang mana ia mempunyai penceritaan baik bukan bergantung kepada aksi semata-mata. Pulang sangat balance dan ia tidak bergantung sepenuhnya pada pelakon utama. Setiap karakter mempunyai kekuatan dan kelebihan masing-masing dan daripada segi penceritaan yang ditulis oleh Mira, dan pengarapan oleh Kabir dalam bentuk visual, semuanya tampak smooth dan clean. Sesuai sekali dengan demand sekarang.” katanya.

Di layar perak, Remy seringkali digelar sebagai Hero Melayu bahkan karakterkarakter yang dibawanya juga banyak menonjolkan personaliti seorang jejaka yang romantis idaman ramai. Diselusuri dengan gelak tawa, Remy mengakui bahawa dunia realiti dan lakonannya jauh berbeza. “Saya sebenarnya seorang yang tidak banyak bercakap, lebih reserved dan introvert. Manakala dalam filem mahupun drama, saya lebih gemar untuk explore karakter yang berbeza dengan diri sebenar. Realitinya saya kurang bergaul atau bersosial, jadi saya akan gunakan filem, drama atau teater untuk meluahkan sisi ini dan saya akan hanya meluahkannya dalam skrin sahaja,” ujarnya lagi.

Filem Sangkar yang bakal membuka set tidak lama lagi melibatkan banyak aksi dan menurut Remy, dia akan lakukan kebanyakan aksi tersebut sendiri. “Remy tidak risau akan kecederaan mahupun sebarang kecelakaan?” tanya saya. “Dulu pada usia lewat 20-an saya tidak risau, namun mungkin disebabkan faktor usia, kini saya lebih memikirkan keselamatan diri. Walaupun ada yang beranggap 36 tahun adalah usia masih muda, namun bagi saya jangka hayat untuk lelaki pada zaman sekarang berbeza. Disebabkan oleh gaya hidup, cara pemakanan dan lain-lain lagi. Jadi saya banyak menitikberatkan keselamatan diri,” ujar Remy.

Kongsi Remy, sebelum merakam manamana adegan aksi yang melibatkan pelakon lain, dia akan meminta maaf terlebih dahulu. “Sebenarnya di Malaysia, koreografi untuk adegan lawan sepatutnya dilakukan lebih awal agar kita dapat mengelakkan sebarang kecelakaan mahupun kemalangan. Namun di Malaysia, pembikinan filem untuk sesi tersebut jarang sekali berlaku. Masa juga terhad jadi persediaan awal tiada. Jadi kami masing-masing akan cuba menjaga keselamatan diri,” dedah anak kelahiran Negeri Sembilan ini.

“Jadual anda pasti padat, jadi bagaimana anda mencuri masa untuk belajar karakter sebelum memulakan penggambaran,” tanya saya lagi. “Saya akui sekarang ini agak sukar. Orang kata makin lama kita dalam industri, kita makin bagus, namun sebenarnya ia bukan. Bagi saya semakin lama semakin susah. Saya telahpun melakonkan pelbagai karakter dan saya rasa saya telah keluarkan apa yang ada. Sebelum ini saya akan melihat orang di sekeliling dan cuba adapt karakter tersebut dalam hidup agar saya dapat keluarkan karakter tersebut ketika berlakon. Kini saya tidak mempunyai masa yang cukup, bahkan saya tidak mempunyai masa untuk menonton mahupun bersosial. Namun untuk projek sekarang (Sangkar) saya mendekatkan diri dengan mereka yang pernah bertarung atau berlawan dalam cage untuk mendapatkan pendekatan tentang karakter tersebut. Sebagai seorang pelakon walaupun saya sibuk saya akan cuba untuk belajar tentang karakter saya kerana ia sebahagian daripada kerja saya. Lagipun di dalam skrip, penerbit dan pengarah telah mempunyai imaginasi sendiri tentang karakter tersebut. Apa yang saya perlu lakukan adalah tune karakter tersebut dengan apa yang saya observe dengan apa yang saya go through bersama mereka,” terangnya lagi.

Bagi Remy, cabaran terbesar dalam kariernya adalah menjadi orang lain. “Saya lihat orang baru yang hadir dalam industri ini dengan idea-idea segar sama seperti saya 10 tahun lalu. Cabaran saya adalah saya kini kekurangan idea tersebut terutamanya dalam cara melakonkan watak. Acting is all about sincerity. Semua orang boleh berlakon namun yang menjadikan seseorang itu berbeza adalah apa yang disampaikannya penuh dengan soul. Pabila tiada soul, tampak seperti anda berpura-pura,” katanya lagi.

Saya sempat bertanyakan Remy tentang kebangkitan pelakon-pelakon baru yang dipilih atas populariti di media sosial. Jawabnya dengan penuh tenang, “saya lihat perihal tersebut secara positif. Dunia kian berubah dan kita perlu terima bahawa ini adalah dunia baru yang mana pemasaran lebih kepada arah tersebut. You’re nobody to change it. Apa yang saya boleh buat adalah jual bakat saya sahaja. Jika ada penerbit mahupun jenama mengambil pelakon baru atas alasan populariti, saya tidak salahkan mereka kerana perihal ini terjadi di seluruh dunia bukan Malaysia sahaja. That’s the demand now. Anda suka atau tidak, anda harus terima dengan kenyataan ini. Bagi saya jika apa yang saya deliver berkualiti, saya tidak hiraukan akan perkara lain. You have to fight for it and it’s all about surviving. Ya ada beberapa teman tidak bersetuju namun jika difikirkan, tidak guna juga untuk marah-marah. Peminat drama dan filem masih pandai membezakan antara populariti dan kualiti.”

“ORANG KATA MAKIN LAMA KITA DALAM INDUSTRI, KITA MAKIN BAGUS, NAMUN SEBENARNYA IA BUKAN. BAGI SAYA SEMAKIN LAMA SEMAKIN SUSAH.” – REMY ISHAK

FOTOGRAFI JASON LEE TEKS/PENYELARAS ANIS HANINI ARAHAN SENI ESTEE EREEZA GROOMING TIAR ZAINAL PAKAIAN ZARA & MASSIMO DUTTI

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.