SIAPA DIA Amyra Rosli

Empat tahun tanpa filem baru, Maya Karin akan kembali ‘menghantui’ dengan filem dan album baru. This beauty with talent is back!

EH (Malaysia) - - CONTENTS -

GAMBAR RIC CHOW (BLINK STUDIO)

TEKS & PENYELARAS KHAIRUL ABIDIN ISHAK ARAHAN SENI YANTIE BASHARUDIN PENATA GAYA MUZAMMIN MUZLAN PEMBANTU JULIA AZMAN SOLEKAN KHIR KHALID DANDANAN DAVID SHAW PENYELARAS DIGITAL NABILA FARHANA JURUVIDEO FAUZAN PAKAIAN HIMPUNAN PRA-LURUH CHRISTIAN DIOR, BOTTEGA VENETA & KATE SPADE NEW YORK AKSESORI SWAROVSKI

Teruja! Itu yang boleh saya katakan menanti hari penggambaran muka depan edisi ini. Selain cukup sukakan ‘beauty issue’ saya juga sebenarnya sudah lama tidak bekerja dengan Maya Karin. Malah dia sendiri pun agak menyepi dari media beberapa tahun kebelakangan ini. Namun kemunculannya di pentas Anugerah MeleTop bagaikan satu siren yang mengumumkan Maya Karin is back! Dia yang tampil dengan gaun kemban ilham FiziWoo pada malam itu tampak cukup anggun.

Penggambaran muka depan ini berlangsung di bulan puasa, kami seisi studio berbuka bersama. Saat ditanya apa yang dia mahukan untuk berbuka, balas Maya “tak kisah. Asalkan ada Milo ais.” Melihat kesederhanaan Maya di studio membuat penggambaran cukup menyeronokkan. Biarpun terpaksa bertukar empat kali solekan namun Maya tidak mengeluh. “Inilah cover shoot paling lama. I really hope gambarnya semua jadi ya,” sakatnya saat kami bersalaman meninggalkan studio lebih kurang jam 9.30 malam.

MAYA IS BACK!

Maya Karin Roelcke atau sinonim sekali di bibir penggemar seni tanah air dengan nama komersilnya, Maya Karin. Susuk tubuhnya bukanlah asing di layar perak, berderet filem lakonannya mencapai taraf filem pecah panggung. Bukan membodek, namun saya salah seorang penggemar lakonan Maya. Bagi saya dia ada pesona tersendiri, dan kadangkadang saya rasa dia punya sisi misteri yang mungkin membuatkan auranya begitu kuat sekali.

Kali terakhir saya melihat lagaknya di layar perak ialah menerusi filem ‘Jwanita’ tiga tahun lalu. Aksinya menerusi filem itu melayakkan namanya membolosi kategori Pelakon Wanita Terbaik di Festival Filem Malaysia Ke-28 namun rezeki tidak berpihak padanya pabila kecundang di tangan Nabila Huda.

Tahun ini bakal menyaksikan kepulangan Maya ke layar perak pabila filem ‘Munafik 2’ bakal menemui penonton penghujung Ogos. ‘Munafik’ antara filem terlaris di Malaysia, kutipannya melebihi RM17 juta. Tidak hanya di Malaysia, ‘Munafik’ menerima sambutan hebat di Singapura juga Indonesia. ‘Munafik’ juga meraih lima anugerah daripada sembilan pencalonan di Festival Filem Malaysia. Jadi berdasarkan rekod cemerlang ‘Munafik’ pastinya ramai yang mengharapkan kegemilangan ‘Munafik’ akan berterusan.

“Boleh Maya cerita sedikit pengalaman menyiapkan ‘Munafik 2’?” soalan debut saya petang itu. “Yang kelakarnya bila tawaran datang, mereka janji penggambaran hanya akan mengambil masa selama 20 hari saja. Dan bila baca skrip, saya rasa watak dan jalan ceritanya menarik. Jadi, saya berkirakira mengapa tidak. Lagipun sudah banyak kali saya menerima tawaran daripada Skop Production, acap kali waktunya tidak kena jadi saya rasa inilah masanya. Dan saya sendiri looking forward untuk bekerja dengan Syamsul Yusof.”

Namun jangkaan Maya meleset kerana sebaik sahaja dia memberi kata putus, Syamsul sebagai pengarah mengambil keputusan untuk merombak kembali skrip dan jalan cerita ‘Munafik 2’. Dari 20 hari yang dipersetujui pada peringkat awal, penggambaran ‘Munafik 2’ berpanjangan selama 65 hari. Dan waktu penggambarannya didominasi pada waktu malam. Dek kerana terlalu panjang sampaikan ibu Maya cakap padanya, “kenapa tak ambil watak komedi saja, kan senang!”, cerita Maya membuatkan saya ketawa.

“Bila sudah dirombak, watak Sakinah menjadi lebih berat,” sambungnya. “Jujur saya katakan menyempurnakan watak Sakinah memenatkan. Tapi bagi saya ia satu pengalaman yang cukup berharga.”

“Bagaimana pengalaman sulung bekerja dengan Syamsul?” sampuk saya. “Dia seorang yang perfectionist. Sangatsangat teliti. Terlalu detil. Dia sanggup tunggu lebih tiga jam semata-mata mahu dapatkan bunga yang betul untuk satu scene. Dan jika ada baju yang dia rasakan tidak sesuai dia sanggup tunggu sampailah dapat yang berpadanan.”

“Mengapa Maya meletakkan syarat awal mahu penggambaran yang singkat? Tidak mahu watak terlalu berat?” tanya saya lagi. “At that time saya tidak terlalu sihat. Jadi bila ada tawaran saya perlu fikirkan keupayaan saya terlebih dahulu. Tapi saya rasa keputusan saya untuk beraksi dalam filem ini adalah keputusan yang tepat. Selain wataknya menarik ia juga menemukan saya dengan Nasir Bilal Khan. Saya tidak pernah berganding dengannya.”

Filem ‘Munafik’ menghadiahkan Nabila Huda anugerah Pelakon Wanita Terbaik, jadi pada hemat saya pastinya watak Sakinah yang didukung Maya akan menjadi lebih berat, lebih mencabar pastinya. Dan saya begitu optimis yang Maya akan berjaya memukau penonton dengan lagak aksinya sementelah genre filem seram bukanlah sesuatu yang asing bagi wanita yang pernah dibesarkan di Indonesia ini.

“Sejujurnya saya tak pernah fikir atau meletakkan sebarang pengharapan untuk menang anugerah bila saya berlakon. Pada saya itu semua soal rezeki. Samalah macam hal jodoh, itu semua Tuhan yang tentukan. Tapi apa yang boleh saya katakan bila saya berlakon mana-mana filem, selain bagi yang terbaik dalam lakonan saya juga akan berikan kerjasama sebaik mungkin untuk mempromosinya. Insya-Allah ‘Munafik 2’ akan turut ditayangkan di Brunei, Singapura dan harapnya Indonesia.”

Selain ‘Munafik 2’, Maya juga bakal muncul menerusi filem ‘Olympic Dream’,

“KALAU FILEM MELAYU, MELAYU HABIS, KALAU FILEM CINA, SEMUANYA CINA, KALAU FILEM INDIA PUN SAMA.”

sebuah filem arahan Don Hoe yang turut dibintangi Annabelle Tan dan Jordan Voon. “Saya cukup sukakan jalan ceritanya. Akhirnya saya ditawarkan untuk berlakon dalam filem yang saya sifatkan sebuah filem Malaysia. Sebab di Malaysia, kalau filem Melayu, Melayu habis, kalau filem Cina, semuanya Cina, kalau filem India pun sama.”

“Kita sepatutnya hasilkan filem yang menggambarkan kehidupan Malaysia. Kita harus percaya filem itu adalah powerful tool. Lihat saja Korea, bagaimana mereka berjaya mempengaruhi kita dengan lagu, drama dan filem mereka. Walaupun kita tak faham bahasa mereka, tapi ramai yang menggila. Jadi penting untuk kita menghasilkan filem yang menggambarkan Malaysia. Sebahagian kelompok orang atas saja yang suka menimbulkan isu rasism, walhal kita kat bawah ni okey sahaja. Melayu, Cina dan India boleh saja kerja sama-sama, boleh gelak ketawa. Macam hari ni, yang mekapkan saya orang Melayu, yang buat rambut dan ambil gambar orang Cina. Okey saja,” katanya yang menyifatkan ‘Olympic Dream’ menghadiahkan dia pengalaman yang cukup berharga bila mana inilah kali pertama dia bekerja dengan produksi dan tenaga kerjanya adalah orang Cina. “Saya seorang saja Melayu,” sambungnya.

Mungkin ada yang tidak sedar betapa hebatnya Maya Karin di dunia lakonan Malaysia. Setakat ini dia merupakan aktres yang paling banyak dicalonkan dalam kategori Pelakon Wanita Terbaik di FFM. Malah dia juga satu-satunya pelakon wanita yang berjaya menerima dua pencalonan dalam satu kategori yang sama. Jika itu tidak hebat lagi, Maya juga sudah menggondol trofi yang sama sebanyak dua kali menerusi kehebatannya menerusi filem ‘Anak Halal’ (secara peribadinya ini antara filem kegemaran saya) dan ‘Ombak Rindu’. Tidak cukup dalam negara, Maya juga pernah dianugerahi trofi Pelakon Wanita Terbaik menerusi filem ‘Pontianak Harum Sundal Malam’ di Pesta Filem Asia Pasifik ke-49 sekitar 14 tahun lalu. Yang saya sebutkan ini semuanya dinilai juri profesional, itu belum kategori popular yang ditentukan secara mutlak oleh peminat.

Melihatkan kecemerlangan reputasinya dalam dunia lakonan, adakah itu yang membuatkan Maya agak menyepi. Memilih mungkin. Lewat kebelakangan ini jarang sekali kita melihat kelibatnya di layar perak. Malah situasi ini tidak hanya berlaku di Malaysia, di Hollywood juga ramai pemilik Oscar tidak seaktif pelakon aliran komersil.

“Sebagai pelakon adalah sangat penting untuk saya buat sesuatu yang baru untuk penonton. Seni itu kan sesuatu yang indah jadi biarlah kita buat sehabis baik. Be different. Kenapa kita perlu buat benda yang sama sahaja. Kalau dalam filem kalau watak datukjahat, kalau pakai tudung saja-baik, kalau perempuan free hair-jahat. Orang seni perlu come out dengan sesuatu yang baru. Kita tengok Beyonce, bila dia buat persembahan besar-besar dia akan buat sesuatu yang baru.”

“Tapi itu bukan bermakna saya berasa tertekan, cuma saya memang hanya mahu buat sesuatu yang baru. Saya tidak mengejar masa, andai kata kena tunggu empat tahun untuk dapat tawaran yang bagus, saya tak kisah menanti. Kalau tak ada, tak apa. Pengikut Instagram saya tak ramai tapi saya tahu orang yang follow saya adalah yang betul-betul setia dengan saya. My

fans akan tunggu. Sama macam Dayang Nurfaizah, peminat dia sanggup tunggu bertahun-tahun untuk dia hasilkan album. Tak ramai tapi setia.”

Senario pembikinan drama televisyen dan filem sedikit berbeza, lebih-lebih lagi dalam pemilihan pelakon. Hari ini, ratarata penerbit perlu mendapat persetujuan daripada stesen TV dalam menentukan wajah-wajah utama mereka. Pelakonpelakon yang punya ramai pengikut, aktif pula di media sosial antara yang menduduki baris hadapan melepasi tali penamat pemilihan. Situasi ini mencetus ketidakpuasan hati ramai pelakon, malah ada disuarakan di media sosial. Saya mintakan pendapat Maya, selaku orang lama pastinya Maya punya buah fikir atau pendapat yang boleh dikongsi sama.

“Ia menyedihkan sebenarnya. Shallow! Pada saya benda ini secara tidak langsung menjatuhkan martabat seni kita. Kita seolah-olah tidak menghormati atau menghargai artis-artis yang bagus, yang ikhlas dalam lakonan mereka. Situasi ini akan menyekat untuk kita sama-sama menonton betapa hebatnya lakonan Namron, Beto Kusyairy dan Nadiya Nisaa misalnya. Pada saya pihak stesen TV seolah-olah tak menjalankan tanggungjawab mereka, mahu mengejar rating semata. Tapi saya tidak menyalahkan artis yang ada ramai

followers di media sosial, jangan salah faham pula. Cuma eloklah jika mereka tambahkan juga ilmu lakonan, perbaiki bakat dan tingkatkan kualiti dalam lakonan, sama dengan pertambahan followers mereka.”

LAKONAN; FORTE!

‘Erti Cinta’, ‘Bukan Qalamaya’ dan ‘Teka-Teki’ merupakan tiga album yang pernah dihasilkan Maya Karin. Dan tahun ini di bawah naungan Warner Music, Maya bakal melancarkan sebuah album baru lagi. Masih belum berjudul, album ini bakal menyaksikan kolaborasinya dengan beberapa penyanyi popular. Antara lagu yang sudah dirakamkan ialah ‘My One True Love’ hasil duet bersama Awi Rafael dan sebuah lagu lagi bersama Kaka Azraff. Maya juga khabarnya dalam proses menyiapkan lagu lain hasil ciptaan Aizat Amdan.

“Mengapa memilih untuk berduet?” “Saja, kerana konsep album ini menjurus kepada ‘Maya & Friends”, jadi ada lagu duet ada lagu solo.” Album yang dirancang bakal memuatkan enam ke tujuh lagu ini diharapkan dapat dilangsaikan pembikinannya pada penghujung tahun ini.

Menerusi pemerhatian saya, dek kerana hebatnya Maya Karin dalam gelanggang seni lakonan ramai orang seolah-olah terlupa Maya Karin sebenarnya juga seorang penyanyi. Bukan sekadar keluarkan single, dia punya tiga album. Hasil kerjanya dalam

dunia nyanyian membuatkan dia pernah tercalon dua kategori di Anugerah Industri Muzik tahun 2001 untuk kategori Artis Baru Terbaik dan Video Muzik Terbaik menerusi single debutnya hasil ciptaan Ajai, ‘Erti Cinta’. Mengimbas kembali memorinya menghasilkan video muzik yang berlangsung di Stadium Putra Bukit Jalil (hari ini bertukar nama kepada Axiata Arena), ia berlangsung dua hari. “Prosesnya lama kan Khir,” kata

Maya. Tiba-tiba Khir menyampuk, “dulu buat video muzik guna filem, standard nya macam buat iklan komersil. Hari ini jarang atau memang dah tak ada syarikat rakaman nak laburkan duit buat video muzik berbajet besar.”

“Mengapa tidak mahu merakamkan album Inggeris. Saya rasa Maya lebih selesa dengan bahasa Inggeris. Dengan kefasihan dan loghat Inggeris, pasti nyanyian lebih convincing.” “Sebenarnya itu cadangan yang bagus. Saya tak nafikan saya lebih selesa berbahasa Inggeris, tapi yang menjadi masalah ialah mendapatkan lagu Inggeris yang bagus. Mungkin Yuna boleh tolong saya buatkan lagu,” balasnya tersenyum. Dan menurut Maya lagi, kalau ikutkan cita rasa muziknya, dia senang dengan ritma jazz dan mahu punya album jazz. Tapi dia sedar pasaran untuk muzik itu di Malaysia sangat kecil.

“Maya pernah berkecil hati bila orang terlupa yang maya ni sebenarnya juga seorang penyanyi? Orang terlalu fokus pada lakonan Maya hingga meminggirkan hasil seni Maya dalam dunia seni suara,” aju saya. “Dalam dunia ini setiap orang akan ada forte masing-masing. Begitu juga saya, mungkin rezeki saya dalam dunia lakonan lebih besar berbanding nyanyian. Artis lain pun begitu, Beyonce ada juga berlakon tapi orang lebih ingat dan hormat dia sebagai penyanyi. Tapi tak bermakna yang saya merungut atau mengeluh dengan situasi ini. Saya tak putus asa dan akan terus push kerjaya nyanyian saya.”

Selain berlakon dan menyanyi, ramai juga yang tahu Maya dulu aktif mengacara. Malah pertama kali saya melihat Maya di kaca TV sewaktu dia mengacara program TV ‘Wavelength’ di TV3 sekitar tahun 2000. Saya ingat lagi waktu itu rambut Maya diwarnakan merah gelap. Dia juga pernah mengacara ‘Ratu Sehari’ ‘Nona’ dan juga pernah menjadi wajah di Channel V. “Tidak rindu mengacara?” “Siapa kata tak rindu. I miss hosting. Saya suka mengacara program ‘Ratu Sehari’, teringin nak hoskan rancangan sebegitu lagi.”

“Cukup cakap pasal kerjaya. Jom cakap fasal alam sekitar,” ajak Maya. Saya sedar Maya sangat aktif dengan kempen alam sekitar. Banyak kerja amal yang dia lakukan bersangkutpaut dengan isu alam. “I know you love environment. Jika tak masakan dulu you kahwin pun kat FRIM,” usik saya. “Ingat ya you,” dia ketawa.

“Kita ni selalu alpa dengan hal alam sekitar. Macam sekarang, kita ada kerajaan baru, menteri bahagian lain sudah dilantik tapi menteri alam sekitar belum ada lagi. Kita ada banyak isu alam sekitar, contohnya isu bauksit, masalah kerosakan perkampungan Orang Asli, pernah tak kita fikir dan betul-betul ambil tahu? Harimau pun tinggal berapa ekor sahaja. Ramai yang pergi masjid harihari, sembahyang cukup lima waktu tapi berapa ramai antara kita yang ambil tahu pasal alam sekitar. Ciptaan Tuhan kita rosakkan,” nada suaranya bertukar tegas.

NO SUPPLEMENT!

Maya Karin punya kejelitaan yang cukup eksotik. Tidak terlalu cerah melepak seperti gadis pan-Asia yang lain, tidak juga gelap. Bentuk wajah bersegi bagaikan statement. Paling saya suka melihatnya pabila Maya Karin tersenyum dan ketawa, cantik wajahnya lebih terserlah. Maka tidak hairanlah dia pernah duduk di kerusi duta L’Oreal Paris Malaysia tujuh tahun lamanya. Satu tempoh yang dikira lama bagi selebriti tempatan mewakili satu label kecantikan antarabangsa.

Bila ditanya apa yang dibuat dalam memelihara kecantikannya itu, semuanya serba ringkas jawabnya. “Dari dulu saya memang menjaga kulit dan rambut. Usai bersyampu wajib saya sapukan conditioner. Saya akan letak banyakbanyak. Saya cukup cermat dalam merawat rambut. Jika rambut kusut saya akan sikat perlahan, saya akan leka melerai rambut, boleh makan satu jam,” dia berseloroh. Bila ditanya tentang kulitnya pula Maya cuma sapukan pelembap, sesekali dia memakai pupur muka. “Dari dulu my mom memang selalu ingatkan, kulit mesti selalu dilembapkan usah dibiar kering.”

“Siapa wanita yang paling cantik di mata Maya?” “Dulu saya sangat suka tengok Angelina Jolie. Tapi hari ini dia terlalu kurus. Oh ya, saya suka French actress, Sophie Marceau. Suka melihatnya dalam filem Braveheart. Bagi saya dia cantik sekali.”

“You masih ambil jamu,” tanya Khir Khalid pada Maya. “Jamu sekali-sekala. Tidaklah selalu. Dari dulu saya memang tidak ambil supplement. Saya tak percaya semua itu. Lagipun memang ada kajian yang membuktikan banyak supplement kat pasaran kandungannya tepung. Kalau kita nak vitamin, kalsium dan semua jenis zat, kita makan terus daripada sumbernya. Banyakkanlah makan sayur, buah-buahan dan ikan. Minum susu. Bila kita jaga apa yang kita makan kita tak perlu nak ambil supplement,” jawabnya mengakhiri temubual saya yang berlarutan ke akhir penggambaran.

“SAYA TIDAK MENGEJAR MASA, ANDAI KATA KENA TUNGGU EMPAT TAHUN UNTUK DAPAT TAWARAN YANG BAGUS, SAYA TAK KISAH MENANTI.”

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.