BUAL FESYEN

Pentas KLFW adalah landasan buat pereka juga label lokal mengetengahkan idea dan kreativiti, tetapi adakah mereka menggunakan peluang ini ke arah yang betul?

EH (Malaysia) - - SEPINTAS -

KLFW2018 Mengecewakan

#STYLEDBYMUZAMMIN

Kuala Lumpur Fashion Week 2018 telah melabuhkan tirainya usai lima hari berlangsung di Pavilion KL awal Ogos lalu. Dan selama lima hari juga saya berada di sana untuk menyaksikan pementasan rekaan terbaharu daripada pereka dan label fesyen lokal. Mereka diberikan peluang untuk menunjukkan kreativiti masing-masing, ada yang berjaya menarik perhatian saya, dan malangnya ada juga sebaliknya. Tapi tahun ini, saya merasakan ianya seperti kurang memberikan impak. Tiada excitement seperti tahun-tahun terdahulu. Paling mengecewakan, koleksi yang dipersembahkan juga seperti tidak disuntik dengan elemen pembaharuan yang mengujakan. Rata-rata pereka masih menggunakan formula lama, masih berada di dalam kepompong yang sama. Adakah kerana mereka terlalu erat memegang pada ‘signature’ desain atau sebenarnya takut untuk mencuba sesuatu yang baharu? Dan mungkin juga mereka tidak mahu kehilangan klien yang menjadi sumber pendapatan mereka selama ini. Antara yang menarik perhatian saya adalah koleksi daripada Lana yang menceduk inspirasi daripada Primadona Malaya, Saloma yang juga merupakan antara ikon stail terawal negara. Imej ikonik milik Biduanita negara itu dipaparkan di atas skrin lantas menyentuh hati dan memori tetamu yang hadir. Apa yang menarik pada koleksi itu adalah pereka tidak meniru bulat-bulat, sebaliknya memberi nafas baharu pada rekaan agar ianya relevan untuk digayakan wanita hari ini. Fiziwoo juga telah mementaskan antara koleksi terbaik pada edisi KLFW tahun ini. Cukup kemas dan berbeza dari koleksi sebelumnya. Pelbagai elemen baharu disatukan cukup seragam menjadikan keseluruhan koleksi ini, sebuah koleksi.

Masih lagi bermain dalam pemikiran saya ketika menghadiri salah satu pementasan sebuah label fesyen ini. Mulanya saya tergamam, speechless. Kemudian terus disulami dengan gelak besar selepas melihat koleksi yang seolah-olah dihasilkan oleh 10 individu berbeza. Setiap satunya sangat berlainan dan tiada kesinambungan antara satu sama lain. Saya juga ingin menzahirkan kekecewaan selepas melihat koleksi milik label fesyen berpengalaman melalui media sosial. Sangat amatur! Olahan desain yang sangat murah, dari segi pemilihan material, warna dan termasuklah idea asas itu sendiri. Versace on the floor, literally.

KLFW adalah platform terbaik buat pereka juga label fesyen lokal untuk mengetengahkan idea dan kreativiti mereka. Pentas itu bukan sekadar landasan buat model memperagakan rekaan terbaharu. Pentas itu perlu juga diselitkan dengan drama dan pengalaman yang akan meninggalkan kesan kepada dompet penonton. Dan diharapkan ia akan menyuntik pulangan kepada mereka untuk meneruskan legasi dalam mewarnai industri fesyen Malaysia.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.