EH! SEPINTAS

EH (Malaysia) - - CONTENTS - Khairul Abidin PENGARANG khairul@bluinc.com.my

muncul di muka depan majalah beramai-ramai? Boleh hilangkah ‘kelas’ bila berkongsi cover dengan artis lain? Saya pelik (terkejut sebenarnya) bila pengurus seorang artis rasa berat hati mahu mengizinkan artisnya muncul di cover bulan ini atas alasan artisnya akan digandingkan dengan selebriti lain. Sangkanya kami mahu tampilkan artisnya seorang saja. Bila dikhabarkan cerita ini oleh anak buah saya, perasaan bercampur baur, kecewa ada, marah pun ada. Bukannya dia tidak pernah muncul sebagai solo cover girl di muka depan EH!, sudah lebih dari sekali.

Oh come on, Datuk Seri Siti Nurhaliza sendiri pernah muncul di muka depan EH! bersama artis lain beberapa kali, dan dia kekal profesional memberi kerjasama. Begitu juga Camelia, selebriti paling stylish dalam sejarah industri, tidak pula dia berasakan standardnya jatuh bila berkongsi cover. Nur Fazura, Lisa Surihani, Scha Alyahya, Nabila Huda pun pernah, sampai ke hari ini mereka masih ada ‘kelas’, terus disegani dan disenangi. Di Hollywood hal ini bukanlah satu yang memalukan, majalah Vanity Fair saban tahun muncul dengan ‘The Hollywood Issue’ yang menggandingkan barisan pelakon kelas satu. Malah rasanya publicist atau pengurus mereka berlumba-lumba melobi mahu artis jagaan mereka diletakkan di muka depan. Tak sangka pula ada pengurus di Malaysia yang pilih bulu, bukanlah banyak sangat majalah di Malaysia jika hendak memilih sekalipun.

Sebenarnya saya tidak suka nota editor saya berbaur negatif (jauh sekali menulis gosip) tapi rasanya saya perlu menulis hal ini sebagai perkongsian pengalaman, mungkin juga boleh dijadikan pesanan. Usahlah kerana artis yang kita jaga sudah popular (fakta: selebriti ini belum pun pernah menang manamana anugerah) dipuja peminat kita alpa, terlupa kemahsyuran yang dimiliki semuanya bersifat sementara. Jika kita rasa kita cantik, akan ada orang yang lebih cantik. Di industri akan selalu ada orang baru, dan lazimnya lawa-lawa belaka. Kalau kita hebat berlakon, akan ada orang yang lebih besar bakatnya.

Jadi ingatlah, sekalipun kita adalah orang tercantik di dunia, tiada erti jika kecantikan itu dijadikan tatapan orang buta. Semerdu mana pun suara kita, tak ada ertinya jika kita menyanyi untuk orang pekak. Maksud saya, kalau tak ada yang menyokong dan menghargai (peminat, media dan sebagainya), kelebihan yang kita ada takkan ada nilainya. Usahlah asyik bertemankan bulan bintang, bumi tempat berpijak rumput nan hijau kita pinggirkan.

Kepada 20 personaliti yang tersenarai tahun ini, tahniah dan terima kasih atas kerjasama yang diberikan. Juga, jutaan terima kasih buat Chanel atas kolaborasi ini.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.