MAHLIGAI IDAMAN

Dominasi pilihan hartanah hari ini hadir dalam pelbagai pilihan dan lokasi. Bagaimana untuk memastikan anda membuat pilihan yang bijak dan praktikal seiring gaya hidup masa kini?

Glam Deko (Malaysia) - - Ogos / Sep 2018 - Teks SHAHRIL HADI HALIM

Faktor penting perlu tahu sebelum membuat pilihan aset hartanah.

LOKASI

Mengapa lokasi itu penting? Sama ada untuk pelaburan atau kegunaan sendiri, lokasi adalah elemen utama yang menentukan harga sesuatu hartanah itu. Ada yang memilih untuk berada di tengah kota kerana mahu akses yang mudah kepada perkara dan kemudahan lain. Ia juga penentu kadar kenaikkan nilai sesuatu hartanah untuk jangka panjang dan jangka pendek. Ada pula yang mahukan kawasan sub- urban kerana mahukan ketenangan dari kesesakkan namun masih dekat dengan pusat bandar untuk memudahkan urusan seharian. Bergantung kepada keperluan dan perancangan anda dan keluarga untuk jangka panjang. Khusus untuk mereka yang memiliki keluarga yang semakin membesar, kadangkala mereka tidak gusar untuk berulang alik dengan perjalanan yang sedikit jauh demi keselesaan membangunkan keluarga dengan lebih sihat. Selain itu kita juga perlu melihat elemen sama ada ia adalah pemilikan tetap ataupun pegangan pajak. Nilai sesuatu hartanah untuk jangka panjang bergantung kepada status ini.

PROSES MATANG

Merujuk kepada lokasi ada satu perkara yang sering diabaikan oleh bakal pembeli. Untuk mereka yang sentiasa bergelanggang dalam dunia hartanah, kematangan sesuatu projek pembangunan adalah antara perkara yang dipertimbangkan. Disebabkan faktor kesesakkan yang semakin meningkat di ibu kota, banyak pemaju yang memilih untuk membuka hartanah baru sama ada di sekitar kawasan pinggir bandar mahupun kawasan yang dikira luar bandar suatu ketika dahulu. Dengan kadar perkembangan dan pertambahan penduduk yang semakin meningkat, pilihan hartanah mula beralih ke satu arah berbeza yang memberikan pelbagai pilihan baru untuk memastikan ia memenuhi kehendak pasaran dan permintaan keperluan berbeza. Khusus untuk hartanah yang baru dibuka, jika pembelian adalah untuk peluang pelaburan, anda perlu membuat kira- kira, apakah kawasan ini bakal matang dalam jangka masa yang pendek atau pun panjang. Berbanding dengan lokasi di tengah kota yang kebanyakkanya adalah dikira matang, kadar kenaikkan nilainya lebih pantas tanpa menunggu lebih lama, namun kebanyakkannya hadir dalam pilihan saiz yang terhad. Ada juga kondisi yang mana sesuatu kawasan itu sudah stagnant kerana tiada lagi pertambahan yang boleh terjadi kerana persekitaran yang sudah terlalu sesak. Ini juga terjadi kerana kesesakan jalan raya dan elemen lain yang menjadikan hartanah ini menjadi kurang menarik.

KEMUDAHAN

Sama ada kemudahan asas dan kemudahan tambahan faktor ini penting untuk memudahkan urusan seharian. Biarpun anda bukanlah pengguna tegar untukkemudahan pengangkutan awam seperti lrt dan mrt, bakal pembeli untuk masa hadapan mungkin mempertimbangkan elemen sebegini dalam membuat pilihan untuk memiliki kediaman. Pusat beli belah juga penting untuk memastikan

memastikan keperluan harian mudah diakses namun jarak yang praktikal penting demi keselesaan jangka panjang. Keperluan lain seperti kesihatan dan pendidikan juga antara yang menjadi perhatian pemaju perumahan saat melengkapi sesuatu projek hartanah hari ini untuk memastikan ia kompetitif selain memenuhi kehendak dan keperluan individu atau keluarga yang menempati hartanah mereka.

SOSIAL

Ada antara kita yang memilih untuk memastikan lingkungan sosial yang selesa dalam pemilikan sesuatu hartanah sama ada dijadikan pilihan untuk pelaburan jangka pendek atau digunakan untuk didiami. Untuk hartanah strata, ada pemaju yang menyediakan ruang sosial seperti padang permainan, taman rekreasi untuk sukan riadah, juga beberapa kemudahan lain untuk memenuhi kehendak hari ini. Manakala untuk pembangunan hartanah, sesetengahnya ia dilengkapi kemudahan rumah kelab yang menggabungkan beberapa kemudahan seperti kolam renang, ruang barbeku, juga dewan kecil untuk kegunaan para penghuni untuk menganjurkan sebarang cara berskala kecil dan sederhana.

PERHUBUNGAN

Jajaran perhubungan juga sama penting selain kemudahan pengangkutan awam. Khusus untuk penerokaan kawasan baru, akses yang mudah menjamin nilai dan keselesaan untuk penghuninya. Ada juga beberapa pembangunan yang dilihat ‘ mati’ kerana kurangnya akses dan pilihan yang tersedia hanyalah melalui jalan bertol yang dilihat kurang praktikal untuk jangka panjang. Hartanah yang memilki pelbagai pilihan akses berbeza dilihat praktikal kerana ia mampu mengurangkan kebarangkalian kesesakkan lalu lintas yang berpanjangan kerana akses yang terhad.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.