OASIS RIMBA

Glam Deko (Malaysia) - - Kediaman - Teks & Penyelaras NADIA ZOLKIFLI Arahan Seni & Penata gaya AFIQ KHAIRUDIN Gambar SOO PHYE

Kecintaan Pada Alam Dan Kehijauan Memberi Peluang Membina Sanggar Persinggahan Di Hutan Hujan, Pinggir Ibu Kota. Dua Unit Banglo Moden Ekologi Terbina Megah Di Lereng Bukit Cenuram Dalam Kepungan Lembah Pergunungan Buat Merawat Sanubari

“Tanah ini mempunyai segala faktor yang diingini oleh saya untuk membina retreat house dan mungkin rumah persaraan.”

Janda Baik, tanah hutan pinggir bandar yang masih kekal tidak terusik dek pembangunan moden. Dua unit lot tanah setiap satu berkeluasan 1 ekar, di lereng bukit Tanarimba, Janda Baik dibeli tanpa ragu oleh ahli perniagaan, Kong Hock Sian. Dia kemudian menjalin kerjasama dengan arkitek tempatan. Ar. Melvyn Kanny bagi merealisasikan sanggar persinggahan idaman. Melvyn dipertanggungjawabkan untuk membina satu unit banglo sebagai rumah rehat yakni rumah induk dan satu unit banglo lagi untuk kegunaan anak- anak Kong yang juga berfungsi sebagai rumah tetamu.

“Saya mahukan sebidang tanah yang dapat memberikan keluasan ruang untuk bercucuk tanam, membina taman landskap dan tentunya tidak begitu jauh dari ibu kota Kuala Lumpur ( hanya 1 jam pemanduan kereta). Tanah ini mempunyai segala

faktor yang diingini oleh saya untuk membina retreat house dan mungkin rumah persaraan,” cerita Kong mengenai lokasi banglo miliknya.

STRUKTUR ORGANIK

Banglo dua tingkat dibina di lereng bukit curam menyajikan saujana pemandangan tiada tandingan. Berdiri di dek balkoni, mata terlihat kabus pagi keluar dari lembah pergunungan yang masih hijau. Cuaca agak terik tetapi tidak begitu bahang, malah mendamaikan. Seni bina banglo berkonsepkan moden ekologi, Melvyn mengadaptasi landskap tanah semulajadi Janda Baik yang berbukit- bukau dalam struktur seni bina keduadua banglo. Setiap ruang yang ada memiliki karakter tersendiri dan setiap bilik dibina tanpa lekuk 90 darjah. Malah, Melvyn menekankan setiap ruang direka agar penghuni dapat menikmati keindahan persekitaran semulajadi tanpa halangan dari dalam mahupun luar kediaman.

Melvyn adalah pemilik firma arkitek, MJKanny Architect terkenal dengan kepakaran membina struktur rumah bersistem ekologi, mampan tenaga dan moden. “Projek dua unit banglo ini tidak banyak beza dengan projek saya terdahulu. Banglo direka bentuk dengan kemampanan dan sudut pandang ekologi. Apa yang berbeza adalah bentuk muka bumi, pemandangan landskap dan ruang tanah yang besar untuk kami laksanakan sehingga kami tidak mempunyai had ruang dan bentuk yang perlu dipatuhi untuk membentuk plot,” jelas Melvyn.

JIMAT TENAGA

Malah, Melvyn menjelaskan suhu iklim di Janda Baik yang sejuk menyamankan, membolehkan banglo dibina tanpa kebergantungan pada penghawa dingin; sebaliknya aliran udara semulajadi keluar masuk dikaji secara teliti untuk memastikan setiap ruang yang dibina dapat membawa masuk angin secara optimum. Melvyn turut membina satu turbin angin atas tujuan bereksperimentasi dengan kemasukkan angin dingin.

Rekaan siling double volume di ruang tamu utama bersekali ruang makan utama dan dapur kering menggalakkan aliran udara yang efisien. Lantai dibentuk daripada susunan jubin yang secara tidak langsung memberi efek dingin apabila menjejak kaki di atasnya. Dinding terbina daripada aturan batu bata merah. Sebahagian besar fungsi dinding digantikan binaan panel tetingkap labuh dan pintu lipat ( folding doors) kaca telus agar pandangan tidak terpisah langsung dari dunia luar.

Binaan batu bata merah dibiar polos tanpa sebarang kemasan luar dipilih membentuk sebahagian struktur binaan utama. Sebahagian dinding di seluruh banglo turut dibiar tanpa calitan cat. Kata pemilik Kong, “Segala garis simen dan ketidaksempurnaan yang terlihat memberi karakter tersendiri pada keseluruhan ruang banglo. Lagipula, Tanarimba melakukan banyak usaha demi menjaga ekosistem hutan hujan termasuk tidak boleh menebang pokok dan menambak tanah, penduduk sekitar hanya perlu melestarikan agar generasi masa hadapan dapat melihat dan merasai kehidupan hutan hujan tropika yang tidak terjejas.”

LANDSKAP ALAM

Menyusuri cenuram taman landskap dan kebun yang diolah dan ditanam sendiri oleh Kong; bunga- bunga kembang mekar seperti bunga kembang pagi, lavender, halia bara indah mewarnai tanah yang subur menghijau. Pokok buahbuahan seperti ciku, betik, pisang, terung pipit ditanam secara merata sudah mula mengeluarkan hasil. “Jika tiada sebarang urusan kerja di luar atau dalam negara, saya menghabiskan masa di sini. Mengapa perlu membina kehidupan di luar negara, sedangkan tanah air kita cukup kaya dengan segala sumber asli dan tanah yang subur untuk kita berbakti dan menyemai benih,” cerita Kong yang turut mempunyai rumah induk di Cheras.

Ruang santai berbumbung untuk kegunaan keluarga merai tetamu dalam suasana outdoor berada di penjuru taman landskap. Struktur bumbung dibina sama dengan

bumbung banglo induk yang memberikan komposisi pemandangan lembah dan gunung- ganang kawasan sekitar. Jelas Melvyn, “Reka bentuk bumbung melekap terus ke tanah bagaikan bingkai gambar yakni apabila penghuni berada di dalam, mereka bakal melihat pemandangan alam kala senja yang begitu indah.”

Dari ruang bersantai, penghuni dapat melihat dengan jelas fasad bahagian belakang kedua- dua banglo di cenuram. Banglo tetamu menampakkan struktur unik anjung tergantung sepanjang 13 meter tanpa sebarang sokongan pasakan tiang. “Kedua- dua banglo tidak mengaplikasikan struktur binaan dua dimensi konvensional dan terdapat sudut yang sangat kompleks pada kedua- dua plat lantai dan ketinggian. Kontraktor memberikan kerjasama padu. Malah, turut membina model skala sebelum meneruskan kerja- kerja pembinaan untuk mendapatkan pandangan jelas bentuk akhir,” kata Melvyn yang menggangap struktur anjung bumbung tergantung antara bahagian binaan paling sukar kerana terdedah dan tidak dapat disembunyikan oleh lapisan siling.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.