KONTEMPORARI RINGKAS

Rasa elegan yang terhasil daripada cantuman gaya antara kontemporari, moden dan klasik mencipta sebuah kediaman praktikal dan sarat fungsi namun kekal mewah dan indah

Glam Deko (Malaysia) - - Ogos / Sep 2018 - PerekaBlaine Robert

“Saya kekal membawakan rasa clean, simple and timeless untuk memastikan rasa moden dan kontemporari terus terjalin di sini.”

Industri rekaan dalaman di Malaysia penuh dengan warna warni pelbagai idea dari latar belakang yang berbeza namun berkongsi idea dan platform mencernakan kreativiti untuk memperindah lagi kediaman dan seni bina di Malaysia. Portfolio projek berbeza menjadikan setiap hasilnya berbeza antara seorang pereka dengan pereka lain. Kali ini saya berpeluang melihat projek yang baru disempurnakan oleh firma rekaan Blaine Robert Design. Berpengalaman menyiapkan banyak projek antaranya kediaman dan komersil memberikan peluang untuk pereka ini bereksperimen dengan palbagai pilihan gaya dan cita rasa.

Urusan penggambaran kali ini dibantu oleh salah seorang team pereka dari firma ini, Suhida yang mula melayangkan pesanan ringkas beberapa bulan terdahulu menyatakan mereka dalam proses melengkapkan sebuah kediaman di sekitar ibu kota Kuala Lumpur. Ternyata sejurus tiba ke kediaman ini ia tampil berbeza berbanding kediaman lain di kawasan kejiranannya. Kehadiran saya disambut sendiri oleh Blaine Robert yang juga Pengarah Kreatif untuk firmanya sendiri. Oleh kerana kekangan waktu ia hanya duduk sebentar menyaksikan kami melakukan penggambaran kerana perlu menghadiri temujanji lain. Sebelum beransur pergi sempat juga saya mencuri sedikit dari masanya untuk mendapatkan idea kasar mengenai projek ini.

NILAI SENTIMENTAL KEDIAMAN

“Klien ini merupakan pasangan yang pernah kami sempurnakan kediaman yang sedang mereka duduki kini di sekitar Ampang. Kediaman ini merupakan rumah yang telah mereka diami sebelum berpindah ke sana. Oleh kerana nilai sentimental yakni membesarkan keluarga di sini mereka memutuskan untuk menjadikan kediaman ini sebagai rumah hujung minggu yang tuut didiami oleh anak mereka yang baru sahaja menerima cahaya mata pertama. Dengan kawasan kejiranan yang dirasakan ideal untuk membesarkan anak kecil, mereka mahu membawakan rasa yang hampir sama dengan kediaman yang mereka diami ke kediaman baru ini. Untuk itu saya kekal membawakan rasa clean, simple and timeless untuk memastikan rasa moden dan kontemporari terus terjalin di sini. Selain itu kediaman ini turut kami berikan suntikan idea mesra alam untuk memastikan ia berfungsi dengan bijak pada masa hadapan. Oleh itu idea tentang konsep terbuka menjadi pilihan di sini juga perubahan pelan lantai berbeza untuk disesuaikan dengan gaya hidup mereka,” kongsi Blaine membuka bicara.

Memilih untuk melengkapi kediaman ini dengan suai padan perabot yang direka sendiri, cadangan asal pemilik adalah untuk bermain dengan pilihan ragam warna perabot. Sebagai pereka Blaine menasihatkan mereka untuk kekal pada palet neutral bagi memastikan gaya ini relevan dan tidak mudah bosan kerana perabot tidak praktikal untuk diubah secara kerap. Lebih unik lagi perhiasan seni lukis yang dipilih merupakan sentuhan tangan pereka kanan Blaine Robert Design yakni Nurul Shamin yang turut terlibat menyempurnakan projek kediaman ini. Sebelum beredar, sempat pula Blaine memperkenalkan saya kepada Shamin untuk berbicara tentang projek ini. Terus saya ajukan mengenai bagaiman dia menghasilkan karya seni lukis dalam masa yang sama menyempurnakan hiasan dalaman kediaman ini.

“Oleh kerana kami telah secara dasarnya mengangkat tema moden kontenporari sebagai teras untuk memperindahkan lagi kediaman ini, ia memudahkan saya untuk menghasilkan karya seni lukis ini. Untuk gaya sebegini karya seni yang sesuai dan praktikal semestinya gaya abstrak yang memudahkan suai padan

“MEREKA MEMUTUSKAN UNTUK MENJADIKAN KEDIAMAN INI SEBAGAI RUMAH HUJUNG MINGGU YANG TUUT DIDIAMI OLEH ANAK MEREKA YANG BARU SAHAJA MENERIMA CAHAYA MATA“

bersama ambien seluruh kediaman. Oleh itu, saya mengambil semula palet warna yang diadun untuk kediaman ini sebagai salah satu inspirasi untuk menghasilkan karya seni untuk mengindahkan ruang kediaman ini. Penggunaan kepingan daun emas bertujuan untuk menaikkan lagi seri dan memberi rasa mewah kepada karya ini.”

PELAN ASAL DIPERBAHARUI

Projek yang memakan masa lapan bulan untuk disempurnakan ini menyaksikan perubahan utama yang menjadikan fasad kediaman berubah secara total. Oleh kerana kondisi kediaman agak terhad, ubah suai total menjadi pilihan untuk membina semula rasa dan gaya yang ingin dicapai oleh pemilik kediaman yakni Nur Azizah Abdul Aziz. Namun kedudukan bilik masih mengikut susun atur pelan asal kediaman dengan penambahan beberapa ruang baru seperti balkoni di bahagian depan dan belakang kediaman, selain peralihan kamar kecil di tingkat satu kediaman. Bagi menyempurnakan ruang balkoni di bahagian belakang, mereka telah menciptakan vertical garden untuk memisahkan pemandangan belakang yang agak rapat denganh kediaman bersebelahan.

Sambil kami ralit menyiapkan sesi penggambaran sempat juga pemilik kediaman menjengah sambil memeriksa keadaan kediaman yang sudah sedia untuk didiami. Kemesraannya berbicara mengajak saya duduk sebentar untuk berkongsi kisahnya tentang kediaman ini. “Lokasi yang strategik membuatkan saya sukar untuk kami melepaskan unit ini. Biarpun kediaman sekarang terletak lebih dekat dengan ibu kota, namun persekitaran yang mendamaikan menyebabkan anak- anak lebih sukakan kepada kediaman ini. Mengenai gaya hiasan pula kami memang meletakkan sepenuh kepercayaan kepada team Blaine Robert Design yang diketuai oleh Hafiz dan dibantu oleh Shamin bagi menyempurnakan projek ini. Oleh kerana kami sangat berpuas hati dengan projek yang disempurnakan untuk kediaman yang kami duduki kini, ia memudahkan kami untuk memberikan kebebasan kepada pereka dalam berkarya. Tidak banyak perubahan yang kami syorkan kepada mereka mengenai projek ini kerana sememangnya ia berjaya memikat hati kami.”

“SAYA MENGAMBIL SEMULA PALET WARNA YANG DIADUN UNTUK KEDIAMAN INI SEBAGAI SALAH SATU INSPIRASI UNTUK MENGHASILKAN KARYA SENI”

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.