SARAT MOTIF SARAT MOTIF

Terjemahan gaya klasik Eropah yang diperhalusi Emma Khalid dalam mencipta kediaman miliknya membangkit rasa elegan dan tersendiri. Suntikan identiti bermain kertas dinding menjadi nadi pada setiap ruang

Glam Deko (Malaysia) - - Content - Teks SHAHRIL HADI HALIM Gambar WAN IZHAR ODS

- “Bukanlah saya tidak gemar akan gaya yang lebih moden mahupun kontemporari namun pada saya gaya klasik Inggeris dan Eropah lebih malar segar tanpa anda perlu kerap mengubahnya mengikut peredaran trend,” Pemilik - Emma

Melintasi kawasan kejiranan mewah di sebelah ibu kota, saya ralit mencari unit kediaman milik Emma. Mulanya saya menyangkakan kediaman ini milik klien yang disempurnakan pereka ini. Ternyata kediaman ini merupakan kediaman peribadi Emma sendiri. “Ia juga bertindak sebagai ruang pamer bagi klien yang berminat untuk mendapatkan perkhidmatan saya. Malah mereka dapat membayangkan terlebih dahulu bagaimanakah rasa keseluruhan ruang yang ditata dengan gaya klasik Inggeris dan Eropah. Saya selesa bermain dengan elemen yang menjadi pilihan peribadi untuk setiap projek. Bukanlah saya tidak gemar akan gaya yang lebih moden mahupun kontemporari namun pada saya gaya ini lebih malar segar tanpa anda perlu kerap mengubahnya mengikut peredaran trend,” kongsi Emma sejurus kami melabuhkan punggung di sofa yang terletak di ruang tamu. Keramahan Emma membiarkan kami menerokai ruang dalamannya menjadikan saya terus selesa berbicara bersama personaliti yang telah melibatkan diri dalam bidang ini hampir 11 tahun yang lalu.

Hakikatnya ini bukanlah kali pertama kami memaparkan sentuhan Emma Khalid untuk penerbitan GLAM Deko. Namun sebelum ini kami banyak memparkan kediaman yang dilengkapi oleh syarikat hiasan dalaman miliknya yakni My Home Gallery. Sejarah mengenai perniagaan berlaku secara kebetulan. Emma yang ketika itu bekerja dalam sektor korporat mula merencana dan melaksanakan sendiri rekaan dalaman untuk kediaman terdahulunya yang terletak di Alam Damai,

Cheras. Sentuhannya mula mendapat perhatian jiran sekeliling dan teman yang turut meminati konsep yang sama. Bermula dari laman kediaman, mereka mula minta kebenaran untuk melihat sendiri ruang dalaman sentuhannya. Tambahan pula dia mula mendapat permintaan untuk membuat suai padan dan menerapkan kertas dinding pada beberapa kediaman milik jiran dan teman.

ELEMEN KERTAS DINDING

Antara keunikkan yang dapat saya perhatikan pada setiap bahagian kediaman ini adalah penggunaan kertas dinding yang menyeluruh. Emma bijak bermain dengan padanan kertas dinding dan memanipulasi setiap permukaan. Tidak terhad pada bahagian dinding sahaja, dia turut mengaplikasi kertas dinding pada siling ruang tertentu untuk menaikkan seri keseluruhan ruang. “Sebenarnya sejurus saya berhenti dari kerjaya terdahulu, saya mula mengorak langkah dengan mendalami mengenai kertas dinding. Saya mengambil kursus khas berkenaan kertas dinding untuk memastikan saya benar- benar mahir sebelum meneruskan perniagaan dalam bidang ini. Tidak keterlaluan jika saya katakan saya antara individu terawal yang menggunakan teknik pemasangan kertas dinding pada siling untuk menyempurnakan rasa klasik ruang kediaman. Jika anda melawat istana lama di Eropah mereka banyak menggunakan lukisan mural sebagai dekorasi pada siling. Ini menunjukkan betapa pentingnya bahagian ini utuk didekorasi jika anda memilih gaya klasik. Merujuk kepada kediaman saya ini, oleh kerana saya mahukan aplikasi maksimum untuk kertas dinding, saya memilih untuk mendapatkan kediaman yang direka dengan pelan lantai yang sememangnya membahagikan segmen berbeza untuk ruang kediaman. Ia dapat dilihat jelas dan ini saya terapkan bersama pemilihan berbeza untuk setiap ruang.”

Ruang tamu kediaman ini menampilkan penggunaan kertas dinding corak damask dalam rona pastel beige. Tumpuan pada penggunaan tona hitam sebagai penegasan seperti pada pelmet untuk langsir juga sedikit suntikan pada sofa menyeragamkan rasa pada ruang ini. Rasa yang lebih moden menjadi pilihan dengan cara perletakkan sofa dan rekaan yang lebih ringkas sesuai dengan keluasan ruang. Oleh kerana Emma memilih perincian yang sarat untuk keseluruhan ruang, dia menyeimbangkan dengan rekaan sofa yang lebih ringkas dan dihiasi kusyen yang bermain motif pada fabriknya. Kemasan semulajadi seperti bulu dan corak kulit lembu memberikan nafas yang lebih segar untuk keluruhan ruang.

DEFINISI RUANG BERBEZA

Bersebelahan ruang ini menampilkan ruang makan yang menampilkan paduan motif yang lebih sarat. Biarpun ruang lebih kecil, pengunaan rona hitam pada kertas dinding juga corak damask menjadi

padanan menarik bersama set meja makan dalam rona kelabu. Untuk mencipta titik fokal, langsir rona lebih terang menyeimbangkan keseluruhan ruang. Candelier yang dipasang rendah dipilih dalam kemasan kristal jernih untuk mengelakkan pertembungan motif yang keterlaluan. Jelas sekali Emma mencipta keseimbangan yang baik. “Rekaan sebenar kediaman ini adalah lebih kecil. Di ruang makan ini turut disertakan ruang dapur kering. Namun bagi saya ia kelihatan terlalu padat lantas saya membuat keputusan untuk menambahkan lagi ruang di bahagian untuk dijadikan dapur kering, dapur basah dan ruang keluarga yang sekaligus bertindak sebagai ruang menonton. Hakikatnya ruang dapur adalah ruang kegemaran saya. Kerap juga saya menjamu tetamu di sini, selain klien kadangkala saya mengadakan majlis keagamaan bersama teman rapat juga. Selain ruang ini, kepakaran buat My Home Gallery adalah menciptakan ruang powder room yang membezakan antara rekaan kediaman yang memilih gaya klasik berbanding gaya lain. Untuk kediaman ini saya binakan powder room di kamar kecil bersebelahan ruang makan tadi untuk memudahkan pengunjung untuk menyegarkan diri di sini.”

Menaiki anak tangga ke tingkat atas, saya ralit menikmati perincian yang dipilih. Besi tempawan berukir menjadi pilihan digandingkan bersama kertas dinding rona kelabu dengan paten yang lebih moden menjadi pilihan. Anak tangga dilengkapi ambal berjalur lengkap besi pemegang untuk praktikaliti. Aras satu dilengkapi kamar beradu buat puteri dan puteri kembar Emma. Biarpun menjalankan perniagaan berasaskan hiasan dalaman, kamar buat anak- naknya masih memperlihatkan rasa yang sesuai untuk si kecil dan anak remaja. Tanpa terlalu tegas dengan gaya klasik Eropah pilihannya, suntikan elemen yang lebih santai menjadikan ruang kamar nampak selesa untuk mereka merehatkan diri. Usai memotretkan kamar ini kami dijemput ke tingkat dua untuk melihat sendiri kamar beradu utama yang dilengkapi ruang pejabat juga ruang menonton pada kamar sebelahnya. Di kamar beradu, identiti Emma jelas terpancar dengan penampilan corak damask mendominasi ruang. Kertas dinding rona hijau zamrud bersama padanan perabot putih menjadi pilihan ruang ini.

Sebelum pulang sempat pula dia menjamu kami dengan juadah tradisional Melayu seperti nasi lemak dan kuih – muih. Ketika di kamar beradu tadi sempat saya terlihatkan emblem corak yang juga terlihat di ruang makan serta pada pelmet di ruang tamu. Lantas saya tanyakan sendiri pada Emma sebelum kaki melangkah pulang. “Itu merupakan emblem yang saya reka untuk perniagaan. Ia mengambil huruf pangkal My Home Gallery dan diinspirasikan daripada rekaan logo Roberto Cavalli. Oleh kerana kediaman ini sepenuhnya menggunakan perabot yang saya tempah khas dan reka sendiri, jadi lebih mudah saya menerapkan sentuhan peribadi. Inilah yang membezakan kediaman ini dengan kediaman lain.”

“Kepakaran My Home Gallery adalah menciptakan ruang powder room yang membezakan antara rekaan kediaman yang memilih gaya klasik berbanding gaya lain.”

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.