Kekal Positif

Glam Deko (Malaysia) - - Kata Pengarang - Suhana Desa EDITOR [email protected] bluinc. com. my

Tempoh sedekad menghasilkan pengisian dekorasi untuk tatapan pembaca bagaikan tidak terasa. Kini tiba ke penghujung tahun 2018 dan membuka lembaran baru 2019. Bukan satu jangka masa yang singkat dalam memastikan hanya yang berkualiti dan terbaik dikongsikan. Malah pembaca juga dapat melihat evolusi majalah ini dari muka hadapan, perubahan segmen dan tidak ketinggalan reka letak yang lebih segar dan mesra pembaca. Sememangnya untuk memastikan hanya yang terbaik dan berkualiti, GLAM Deko sering kehadapan membawakan informasi lengkap tentang dunia dekorasi.

Sebagai edisi penutup tirai 2018 dan pembuka 2019, semestinya ramalan warna dan trend dekorasi antara topik yang hangat diperkatakan. Kekuatan warna sebenarnya memainkan fungsi yang sangat besar dalam mencorakkan keindahan sesebuah ruang. Biarpun trend sering berubah, namun jangkaan trend setiap tahun hadir untuk memberi pilihan kepada pembaca dalam merencanakan ruang mengikut selera dan identiti masing- masing. GLAM Deko kongsikan bicara bersama tiga pakar dalam bidang masing- masing untuk menyuntik idea dan inspirasi mendekorasi ruang. Kupasan lengkap diperincikan di ruangan Fokus- halaman 70- 73.

Bagi yang bakal memasuki kediaman baru atau merancang mengubah suai kediaman, edisi kali ini dirangkumkan bersama sisipan senarai semak lengkap berkaitan Renovasi. Ini bagi memastikan anda tidak tersasar dari bajet dan mengelakkan dan menanggung kerugian. Panduan yang disediakan ini juga membantu melancarkan proses ubah suai, selain mengelakkan anda ditipu dan bakal berhadapan dengan masalah yang tidak terduga. Sisipan Renovasi lengkap di halaman 113- 128 sebagai rujukan. Penutup kata untuk tahun 2018, sebagai peneraju sidang redaksi majalah ini, mengharapkan dengan setiap pengisian yang dikongsikan dapat membantu dan menyediakan solusi ke arah menciptakan ruang kediaman yang lebih bergaya dan praktikal. Teruskan sokongan dan rasa cinta anda terhadap majalah ini. Lebih banyak informasi dunia dekorasi bakal mewarnai tahun 2019 dan menceriakan hidup anda! Seluruh warga kerja majalah GLAM Deko ingin mengucapkan Selamat Tahun Baru 2019! Semarakkan jiwa, minda dan karakter anda dengan aura persekitaran yang kekal positif !

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.