Biru Itu Menawan

IS BLUE THE NEW BLACK? TAK KIRA MUSIM, WARNA SPORTY INI TETAP MENDAPAT TEMPAT DI HATI PEMINAT TEGAR LAMAN HOROLOGI

GLAM Lelaki (Malaysia) - - DALAM ISU INI -

Biarpun kala artikel ini ditulis, karyakarya rumah arloji di Baselworld 2018 belum pun dibentangkan dengan rasmi, satu trend yang pasti dapat diramalkan bakal mewarnai dunia horologi tahun ini ialah, warna biru.

Dalam trend jam tangan lelaki, yang jarang sekali tampil dengan palet warna yang cerah atau kreatif sebagaimana trend horologi wanita, warna biru kebelakangan ini kekal mendapat tempat yang utuh di edisi- edisi Baselworld sebelum ini. Baik pada rekaan dail atau bezel, mahupun tali atau komponen komplikasi, tona biru memberi ekspresi maskulin yang cukup versatil. Sama juga dengan kecenderungan lelaki pada denim atau seluar jean, biru membuat kita rasa selesa, punya elemen aktif dan mudah untuk digayakan secara formal mahupun kasual.

Malah, pengenalan modelmodel menjelang Baselworld 2018 sudah pun meraikan rona ini. Januari yang lalu, Hublot mempersembahkan model Big Bang Meca-10 Blue Ceramic yang dikuasai rizab kuasa 10 hari dalam case seramik diwarnakan indigo. Case 45mm itu memaparkan mekanisme skeleton dan strap getah dalam tona warna yang sama. Selain case, bezel dan pengancing turut diperbuat daripada seramik yang sama, yang kuat tapi ringan, kalis calar dan tidak akan dimamah usia. Juga didatangkan dalam pilihan case daripada aloi signatur jenama, yakni King Gold.

Model pra-Baselworld dari Tissot pula, yakni Tissot Chemin des Tourelles, yang mengambil namanya daripada alamat woksyop Tissot yang asalnya ditubuhkan pada tahun 1907, kini dihadirkan dalam beberapa rekaan lebih kontemporari nan elegan. Di mana yang paling menyerlah ialah model dail biru pekat dilengkapi tali kulit warna yang sama, dan diperhalusi perincian clous de Paris iaitu perhiasan guilloche di bahagian luar dail yang memegang turutan angka Roman. Dikuasai pergerakan Powermatic80 dengan rizab kuasa 80 jam, jam dengan case 42mm ini juga kalis air hingga 50m.

Dari suatu yang formal ke model yang lebih dinamik. Longines menerokai estetika lebih sporty dalam simbahan biru dengan model ikoniknya, Conquest V.H.P. iaitu satu kronograf kuarza yang punya kadar ketepatan tinggi (± 5 saat/tahun) dan kebolehan untuk reset semula jarumnya pabila terkena hentakan atau terdedah pada medan magnet dengan panduan sistem GPD (Gear Position Detection). Dikeluarkan dalam diameter 42mm dan 44mm, Conquest V.H.P. ini dilengkapi kaunter 30-minit pada posisi 3, kaunter 12-jam di posisi 9 dan kaunter 60-saat di tengah-tengah dail. Model ini juga tampil dalam pilihan dail serat karbon, perak atau hitam dengan gelang keluli atau getah biru atau hitam.

“SEPERTI MINAT LELAKI TERHADAP SELUAR JEAN, WARNA BIRU MEWAKILI KESELESAAN DAN ELEMEN SPORTY”

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.