kyle

GLAM Lelaki (Malaysia) - - COVER STORY -

Syafiq Kyle anak seni yang semakin diminati dan mempunyai pengikut fanatik yang ramai di media sosial. Memiliki wajah yang kacak dan gaya yang kemas memberikan dia tuah dalam bidang lakonan. Di mana untuk tahun 2018, dia mempertaruhkan bakatnya menjalani penggambaran untuk dua filem baru sambil menanti kemunculan debutnya di layar perak melalui filem Langsuir arahan Osman Ali, yang akan ditayangkan Jun ini. Dalam pada itu, Syafiq juga sedang mengusahakan perniagaan dalam bidang kecantikan yang diberi nama Kylez Lab yang baru sahaja dilancarkan pertengahan April lepas.

DEFINISI GENERASI BARU DALAM ERTI KATA SENDIRI?

Generasi baru pada pandangan saya ialah golongan yang mempunyai pemikiran yang sedikit berbeza dari generasi sebelumnya. Mungkin kerana kepesatan teknologi dan peredaran zaman, golongan ini dilihat bergerak lebih laju, berfikir lebih kritis dan bertindak lebih berani.

SEBAGAI SEORANG PELAKON YANG PUNYA BEGITU RAMAI PENGIKUT DI MEDIA SOSIAL, APA YANG SYAFIQ MAHUKAN DARIPADA MEREKA?

Saya mahukan media sosial menjadi “my sweet escapism”! Tak dinafikan, ada ketikanya, saya agak tertekan dengan jadual yang agak padat, tidur tidak cukup dan sebagainya. Percaya atau tidak, media sosial banyak membantu saya untuk hilangkan segala penat dan tekanan. Jadi kalau boleh, saya nak kekalkan aura positif yang ada di media sosial saya pada ketika ini. I love reading all the funny tweets and Instagram posts!

KERJAYA SENI ANDA BERMULA SELEPAS MENYANDANG NAIB JUARA PERTANDINGAN HERO REMAJA (2012). MENGAPA ANDA MEMILIH PLATFORM ITU UNTUK MEMULAKAN KARIER?

Sebenarnya saya terlebih dahulu berlakon sebelum menyertai Hero Remaja. Tapi waktu itu tidaklah dapat peranan yang besar. Bermula dari bawah, menyertai Hero Remaja boleh dikatakan lebih kepada platform untuk saya lebih dikenali. Tetapi semua itu tidak semudah yang disangka. Walaupun mendapat tempat kedua, agak lama jugalah saya merangkak hingga mendapat peluang melakonkan watak utama. Benarlah, rezeki itu kita tidak boleh persoalkan. Selepas beberapa tahun, kini usaha dan penat lelah yang dilaburkan, mula membuahkan hasil. Saya sangat bersyukur dan berterima kasih dengan setiap individu yang terlibat di sepanjang perjalanan karier saya.

APA YANG ANDA MAHU CAPAI DALAM BIDANG LAKONAN? ADAKAH KERANA BAYARAN YANG LUMAYAN, MENGEJAR ANUGERAH ATAU MAHU MEMBUKTIKAN BAHAWA ANDA ADALAH SEORANG PELAKON YANG BERBAKAT?

Saya memang minat belakon. Buktinya saya pada mulanya seorang pelajar komunikasi media, sanggup tukar pengajian ke bidang lakonan. Apa yang ingin dicapai? Tentunya saya nak dikenali dengan bakat dan jenama sendiri. Selain itu, saya juga mahu jadi pelakon yang versatil. Saya tidak mahu terikat dengan satu watak atau jenis drama sahaja. Dan perihal sebarang anugerah dan tawaran lumayan, saya menganggap ia sebagai satu bonus dan rezeki.

SEPANJANG PEGLIBATAN SYAFIQ DALAM BIDANG LAKONAN, WATAK APAKAH YANG SENTIASA MEMBERI IMPAK KEPADA PENONTON DAN DIRI ANDA SENDIRI?

Sekarang ini rata-rata peminat gemarkan watak yang seperti saya lakonkan di dalam Hero Idaman Malaya. Watak yang sweet dan sebagainya. Itu selera setiap individu, saya pun selesa menjayakan watak sedemikian. Moving forward, saya mahu melakonkan lebih banyak watak yang berat dan penuh dengan mainan emosi. Filem aksi dan watak orang jahat juga merupakan impian saya.

SIAPAKAH IDOLA ANDA DALAM BIDANG LAKONAN?

Namron dan Matthew McConaughey.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.