Expresif | Defensif – Dua Sisi Generasi Hari Ini

GLAM Lelaki (Malaysia) - - DALAM ISU INI - GL

Peralihan analog ke dunia serba digital hari ini membuka satu peluang yang cukup berencam dalam pelbagai bidang. Baik dalam bidang akademik sehingga lapangan kreatif – kita bebas bereksperimen dalam mencuba sesuatu yang berbeza. Jika percubaan itu berjaya maka kita menjadi pelopor tetapi jika gagal masih ada lebih ruang untuk kita explore dan perbaiki di mana silapnya.

Melihat generasi hari ini berekspresi dalam pelbagai cabang kreatif dan membina empayar sendiri buat saya bangga. Anak- anak muda hari ini memiliki cabang kerja yang boleh dicipta sendiri oleh mereka. Seawal umur 16 atau 17 tahun sudah berdiri bangga dengan jenama sendiri hanya dengan kuasa pengaruh Instagram dan Facebook khususnya. Tentu sekali ia datang dengan sokongan penuh keluarga.

Generasi muda ini juga saya kira telah membuktikan you just have to work smart untuk berdikari, mencari duit sendiri dan mencipta nama serta lebih banyak peluang kerjaya daripada landasan teknologi yang tersedia.

Namun di setiap perkembangan pasti ada kebimbangan. Soal etika, respek, ketelitian kerja serta nilai-nilai estetika seperti dipinggir terus hanya kerana mengejar nombor, angka yang dizahirkan sebagai kemewahan berbentuk wang ringgit.

Ketika awal mengetahui salah seorang milenial lokal menjadi jutawan hanya kerana menjual barangan fake atau dilabel sebagai Gred A (still fake), mula terbit tanda tanya. Adakah hal ini legal? Ya, benar jika di Kerajaan Facebook dan Kerajaan Instagram memang tiada akta atau undangundang diwartakan apa yang boleh dan tidak boleh untuk dijual. Malah anda boleh menjual diri sekali pun.

Ini bukan lagi tentang akta, undang-undang atau apa yang betul juga benar. Cuma saya kira ini soal etika juga disiplin sebagai anak muda. Adakah kita hanya harus langgar sahaja apa pun hak milik atau idea orang lain and make money out of it? Jika benar ia okey, maka apa yang terhasil adalah generasi copycat. Dan apa bezanya mereka dengan pencuri?

Keupayaan untuk berfikir secara kreatif dan kritis dalam penghasilan sesuatu yang baru akan semakin terhakis. Saya bercakap tentang nilai dalam R& D sesebuah produk yang dibuat. Jenama-jenama besar di luar tidak melakukan research di Facebook untuk menghasilkan produk mereka seperti kebanyakan anak muda kita hari ini. Setiap produk melalui satu proses pemikiran yang kritikal – bagaimana ia mampu berfungsi bukan sahaja bagaimana ia mampu dijual. Dan proses- proses ini tidak mengambil masa sehari dua atau sebulan dua. Dan anda semudahnya menjual item yang fake hanya atas alasan memberikan harga mampu milik pada yang tidak mampu membeli yang asli? Itu belum lagi yang membeli dalam kuantiti banyak dan menukar label. Menipu bahan kandungan dan menjual pada harga yang cukup tinggi.

Budaya copycat dan penipuan info ini bukan budaya baru sebetulnya cuma saya kira sudah masanya untuk kita berhenti dan memikirkan landasan lain yang lebih baik dalam mencipta nama juga kemewahan. Saya selalu mahu melihat anak muda hari ini menjadi pelopor kepada lebih banyak lapangan kreatif yang mereka boleh cipta sendiri tanpa perlu meniru dan menipu.

Dan di isu yang lainnya, generasi hari ini harus berhenti menjadi defensive dan lebih terbuka dengan teguran serta nasihat. Realiti sebenar anak muda hari ini saya kira semakin mudah dibaca. Nak tahu siapa mereka sebenar cukup hanya dengan membaca status yang dimuatnaik, pendapat yang dilontar di ruang komen.

Saya kira itu sudah cukup menjadi cerminan sebenar generasi hari ini. Keberanian tak bertempat mereka di ruang komen memberitahu akan segala keperibadian yang penuh amarah juga kebencian. Generasi hari ini mudah terusik dengan provokasi biarpun kadang yang diusik orang lain tapi dia pula yang terasa panasnya.

Lantas menjadi defensif, menegakkan benang yang basah dan isi di sebalik cerita sebenar ditokok tambah dan diputar belit tanpa bertanya sendiri pada yang ikhlas menegur. ‘Bodoh’, ‘bangang’ dan ‘bengap’ bukan lagi perkataan yang luar biasa untuk dilempar sebagai tanda cacian malah akan pasti ada yang menyokong.

Jika ini dianggap okey dan tiada yang mahu mengubah keadaan, saya kira di sinilah kerisauan sebenar. Semoga semakin dewasa usia, kita diiringi kematangan dan sivik yang tinggi. Bagi yang sudah berjaya mencipta empayar sendiri dan menjadi contoh ramai orang yang mahu sama berjaya, saya kira ini menjadi tanggungjawab untuk anda menjadi contoh yang baik dan menyebarkan yang baik-baik.

Jangan memonyetkan manusia dengan kekayaan yang anda ada. Jika benar mahu memberi sumbangan berbentuk wang, berilah dengan cara paling berhemah dan penuh hormat. Bukan menaburnya di pusat beli- belah dan menampakkan betapa tamak serta rakusnya kita sebagai manusia (sekalipun betul). Semoga semakin bijak dan kaya kita, semakin tinggi jugalah nilai kemanusiaan dan kasih sayang dalam diri kita semua.

*DISCLAIMER: Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan GLAM Lelaki.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.