Memicu Jiwa Yang Bebas

GLAM Lelaki (Malaysia) - - CONTENTS - Teks: Hafizan Mohd *DISCLAIMER: Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan GLAM Lelaki.

Saat kita sedang meraikan Malaysia yang baru ini saya kira banyak benda yang kita boleh pelajari daripada keterbukaan yang diberikan kerajaan kini. Dan dengan segala aspek keterbukaan ini saya percaya di masa depan kita mampu melahirkan generasi yang mindanya lebih bebas, berpendirian dan berilmu pastinya.

Pengalaman membaca surat khabar dan menonton berita hari ini lebih menarik. Semua mengejar mencari fakta, mengembalikan sejarah dan tiada lagi sekatan untuk menegakkan perihal yang benar dan menidakkkan perkara yang salah. Saya fikir inilah erti sebenar merdeka, kita bebas bersuara dan apa yang lebih penting setiap suara- suara ini didengar.

Saya teruja melihat Malaysia yang baru ini digerakkan dengan jiwa-jiwa merdeka yang mahu melihat rakyatnya sama ke depan bagi menjadikan Malaysia yang usia merdekanya 61 tahun ini lebih besar semangat nasionalismenya.

Saya bukan bijak pandai dalam politik, malah jauh mahu ambil pusing akan hal politik sebelum ini tetapi tidak lagi hari ini. Jujur, saya semakin teruja untuk mengenal siapa pak Menteri kita hari ini. Membaca profil Dr. Maszlee Malik dengan pengaruh Hamka dalam falsafah pemikirannya saja sudah buat saya teruja. Dan lebih membuat saya teruja pabila mengetahui dia penggemar Paolo Coelho – karya agung The Alchemist yang wajib dibaca semua.

Saya mahu bercerita tentang inspirasi dan aspirasi. Hal-hal kecil yang mampu membuat kita rasa seronok, atau bangkit daripada kegagalan dan mengambil inspirasi daripadanya. Dan semua perihal ini tidak semestinya datang daripada orang- orang besar seperti Dr. Maszlee sahaja tetapi mampu datang daripada diri kita sendiri.

Akhiran ini saya banyak melihat ke belakang – sejarah. Apa yang kita ada hari ini adalah daripada apa yang kita lakukan sebelum ini. Mungkin tidak semua yang kita rancang itu menjadi seperti apa yang kita mahu tetapi saya selalu percaya, apa yang yang kita usahakan itu jika ia tidak menjadi seperti apa yang saya mahu itu hal yang beyond our control.

Kita masih bebas untuk bermimpi dan berusaha menjadikan mimpi itu satu kenyataan tetapi ingat, bukan kita yang menulis kejayaan itu dan bukan kita juga yang menulis kegagalan. Jangan takut untuk gagal apa lagi takut untuk mencuba kerana risau akan kegagalan.

Apa yang kita perlukan dalam membebaskan jiwa daripada kegagalan? Inspirasi – saya percaya pada hal itu. Carilah apa sahaja yang mampu memberi inspirasi untuk anda bangkit semula. Mungkin dengan melihat jatuh bangun individu lain, bahan bacaan, muzik, mengembara melihat budaya luar atau mungkin untuk jatuh cinta sekali lagi.

Impian, cita- cita dan harapan harus seiring usaha dan kudrat. Galilah sedalam mana potensi yang kita ada untuk membawa kita lebih jauh. Fokus pada impian perlu sama bijak dengan kemampuan dan keupayaan agar kita siap siaga untuk sebarang kemungkinan yang bakal datang.

Percayalah jika anda mahukan sesuatu dunia ini akan bersama untuk memicu impian tersebut menjadi kenyataan. Hanya ketakutan untuk gagal sahaja yang akan membuatkan anda gagal dalam percubaan dan banyak yang putus asa kerana mereka melihat kegagalan itu sebagai titik akhir dalam setiap impian.

Kita hanya perlu bangkit dengan cepat selepas kegagalan itu. Carilah individu yang tepat untuk anda luahkan kekecewaan. Support system yang kuat perlu untuk kita bangkit semula namun saya juga tahu tidak semua memiliki sistem sokongan emosi yang kuat, tetapi selalulah percaya kita diberi jiwa yang kuat untuk diraikan. Salurkan tenaga kekecewaan yang ada itu menjadi inspirasi kekuatan. Lepaskan segala kekecewaan yang ada dan gantikan dengan jiwa yang lebih besar mahu melihat kejayaan daripada meraikan kegagalan. Lakukan perkara yang tidak pernah kita lakukan sebelum ini, buang segala segala segan atau ego. A simple hello to a stranger can change the whole idea about life – ingat itu pesan saya, yang perlu diraikan adalah impian bukan kekecewaan begi memicu jiwa yang bebas.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.