UiTM Degree Fashion Show 2018

SERAMAI 38 PELAJAR TAHUN AKHIR, SARJANA MUDA SENI REKA FESYEN (KEPUJIAN), UITM SHAH ALAM, TELAH MEMPERSEMBAHKAN KOLEKSI PAKAIAN YANG MEMENUHI PELBAGAI VARIASI TEMA, INSPIRASI SERTA KATEGORI YANG MENYERLAHKAN BAKAT DAN POTENSI MEREKA DALAM BIDANG FESYEN.

GLAM Lelaki (Malaysia) - - RENCANA - GL

Acara yang berlangsung di Panggung Sari, Kompleks Kraftangan Malaysia ini memperlihatkan setiap pelajar tahun akhir menghasilkan satu koleksi rekaan yang terdiri daripada empat rekaan lengkap dengan padanan aksesori di atas inisiatif pelajar itu sendiri bersama bimbingan para pensyarah. Antara intipati yang ingin ditonjolkan buat acara ini ialah agar masyarakat juga penggemar fesyen dapat melihat bagaimana para pelajar bereksperimentasi dengan garisan, tekstur, warna, serta variasi manipulasi teknik pola dan sulaman untuk memberikan lebih impak kepada koleksi rekaan mereka. Anugerah Emas, Perak dan Gangsa telah diberikan bagi koleksi rekaan terbaik yang telah diadili oleh pakar-pakar industri dan akademik. Antara para juri yang terlibat adalah Hatta Dolmat dan Fairuz Ramdan yang juga merupakan alumni UiTM. UiTM Degree Fashion Show 2018 merupakan pentas para pelajar untuk memperlihatkan segala potensi dan bakat mereka, kepada masyarakat serta industri fesyen.

GOLD AWARD MUHAMMAD AMIRUL NAIM HASBULLAH (@ NAIMBUTEK)

Mengambil inspirasi koleksi rekaan daripada seni opera Kabuki Jepun. Koleksi ‘art-to-wear’ ini menggabungkan elemen unsur dramatik dari segi pemilihan fabrik, warna, tekstur dan penggayaan untuk memberi interpretasi kontemporari inspirasi Kabuki dalam seni fesyen.

SILVER AWARD LILY SYAHIRAH ROSIDI FAHLID (@ LILYSYAHIRAH_)

Menjadikan kawasan permukaan paling panas di dunia iaitu di Dallol, Ethiopia sebagai inspirasi dalam menghasilkan koleksi rekaan untuk wanita dan lelaki. Tekstur permukaan Dallol yang penuh rekahan serta gunung berapi menghasilkan tekstur dan warna yang menakjubkan seperti perang kekuningan, perak, sulfur dan hijau keputihan menjadi kunci utama dalam koleksi ini.

BRONZE AWARD MOHD FAIZ RIPIN (@ FAIZRIPIN)

Koleksi streetwear untuk lelaki ini diinspirasikan daripada kehebatan motosikal Harley-Davidson. Ciri- ciri motosikal ini disuntik elemen kontemporari yang diterjemahkan dalam koleksi rekaan pakaian lelaki yang tampil lasak, penuh gaya dan unik. Penggunaan fabrik seperti PVC, kulit, nylon, ribbing dan dekorasi perak memantapkan lagi penampilan keseluruhan.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.