Fantasi Realiti

GAGASAN VISI SERBA SEGAR KIM JONES MENYUNTIK ELEMEN COUTURE KE DALAM KOLEKSI DIOR MEN, TAMPIL MEMPERSONA DALAM PERTUNJUKAN SULUNGNYA DI MINGGU FESYEN PARIS BUAT HIMPUNAN MUSIM BUNGA/PANAS 2019.

GLAM Lelaki (Malaysia) - - DALAM ISU INI -

Setelah sekian lama arena fesyen wanita menjadi tumpuan utama mata dunia dan tajuk berita pada pelbagai platform media, musim ini pentas fesyen tergerak untuk menyalakan lampu sorotnya ke arah koleksi lelaki pula. Jarang sekali koleksi fesyen lelaki mampu mencuri perhatian dari koleksi wanita. This is big. Dan protagonis utama dalam naratif baru ini semestinya Kim Jones, bekas Pengarah Artistik Fesyen Lelaki untuk Louis Vuitton yang kini membawa khidmatnya ke Dior Men pula. Secara tradisi, Dior Men antara label yang sering dijadikan titik rujukan ataupun penanda aras untuk hala tuju fesyen lelaki. Didukung pula kejayaannya di LV, tak hairanlah warga fesyen begitu teruja menanti visi Kim Jones untuk Dior Men.

And man, he didn’t disappoint! Berani kami katakan, pertunjukan Kim Jones untuk Dior Men Musim Bunga/ Panas 2019 was the show of the year!

Arena pertunjukan di Garde Républicaine, Paris itu sahaja sudah mengisyaratkan evolusi baru label ini, tampil bombastik dengan sepasang arca bunga dalam bentuk karakter yang dinamakan BFF berdiri di pintu masuk venue, hasil kerja rakan Jones sendiri, yakni artis New York, KAWS. Kolaborasi mereka tidak terhenti di situ: diberi tempat terhormat di tengah-tengah pentas peragaan, KAWS telah mencipta satu arca bunga setinggi 10 meter yang mewakili karakter mendiang Christian Dior, lengkap dengan anjing kesayangannya, Bobby.

Dipenuhi bunga ros dan peony, bagaikan simbol kesegaran dan kelembutan yang Jones terapkan ke dalam koleksi debutnya. Garapan Dior Men buat Musim Bunga/ Panas 2019 memperlihatkan sisi rekaan yang lebih lembut dan menjurus. Sebagai koleksi sulung Kim Jones buat jenama mewah ini, beliau telah memilih untuk menginterpretasi maksud yang tersirat di sebalik sifat peribadi mendiang Christian Dior melalui eksplorasi ciptaan Haute Couture-nya sebelum ini. Koleksi baru ini dicipta sebagai sebuah penghormatan buat diri Dior sendiri terhadap realiti dan fantasi peribadinya.

Dengan menerapkan identiti feminin couture mewah yang diilhami sifat maskulin, Kim Jones telah menghasilkan busana yang memberi imej lebih lembut – atau bak kata Jones sendiri, “Lebih romantik.” – dengan ciptaan bahu yang bulat dan potongan yang lebih bersahaja. Kebanyakan fabrik di dalam koleksi ini

menggunakan fabrik cashmere yang ringan serta bulu biri-biri British yang lembut di mana Kim Jones telah menyesuai padankan dengan bijak setiap pakaian ini sebagai simbolik sentuhan Haute Couture dengan keselesaan kontemporari.

Di samping itu, Christian Dior pernah menyatakan bahawa identiti beliau sebagai ahli couture bukanlah kerana hasil titik peluh dirinya sendiri tetapi lebih kepada kerja berkumpulan yang setiap daripada mereka mempunyai personaliti tersendiri. Maka, Kim juga terus menerapkan konsep komuniti itu dengan melantik pereka Yoon Ahn dari Ambush untuk mencipta barang kemas, mengguna pakai lambang neo-klasik Dior ‘CD’, bungabungaan dan serangga untuk koleksi ini. Kawan seangkatan Jones iaitu Matthew Williams daripada Alyx pula direkrut untuk mencipta bentuk baru buckle besi CD yang digunapakai pada aksesori-aksesori lain, yang pasti bakal menjadi rebutan pengguna tegar media sosial. Namun, antara perkembangan yang paling mengujakan, Jones mengembalikan aksesori ikonik era ’ 90-an, Dior Saddle Bag yang buat kali pertamanya tampil dalam versi untuk lelaki.

Sarat dengan tanda tunduk pada legasi jenama yang dipadankan dengan visi kontemporari Kim Jones dan inovasi kepakaran pasukan couture Dior, koleksi Dior

Men Musim Bunga/ Panas 2019 menghangatkan lagi arena fesyen – tak kira fesyen lelaki ataupun wanita – dengan lembaran inspirasi terhadap dunia semulajadi dan dunia fantasi Dior sendiri. Well done, Kim Jones.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.