Rehat & Rawat Di Kamar Mewah

GLAM Lelaki (Malaysia) - - DALAM ISU INI - GL

BERCUTI SEKETIKA, LARI DARIPADA RUTIN KERJA YANG MENYESAKKAN DENGAN HARAPAN PULANG NANTI SEMANGAT HIDUP AKAN LEBIH MENYALA. ANTARA VILA DI PUNCAK BUKIT DENGAN HAMPARAN LAUT DI PHUKET DAN KAMAR MODEN DI KOTA AIR, WUZHEN, CHINA , RASA RESAH DAN GALAU DIRI AKAN DIUBATI.

Liburan akhir tahun sememangnya mengujakan. Namun bercuti dalam musim yang agak padat pula adakala merimaskan. Usah gusar. Anjak sedikit masa bercuti. Awal tahun biasanya agak reda dan sedikit tenang. Tidak perlu jauh-jauh, bercuti saja ke seberang. Mungkin anda berasa destinasi Phuket agak klise tetapi hotel serta pengalaman bercutilah yang sebenarnya memberi kelainan. The Pavilions Phuket dikhabarkan membuka fasa baharu dengan vila yang telah diubah suai dan tampil segar. Pengalaman kulinari di sini juga dijangka mengasyikkan dengan hidangan yang dihoskan oleh chef pemenang multi anugerah, Shinichi Maeda.

Apa lagi yang mampu membuat diri berasa tenang selain bersunyi- sunyi di atas puncak bukit? Resort mewah The Pavilions Phuket memaparkan panorama menakjubkan dengan segala kemudahan dan perincian mewah. Privasi menjadi keutamaan. Jika anda bujang, larikan diri seketika di vila atas bukit, bermalas-malas di kolam peribadi atau pilih untuk membawa teman. Jika sudah berkeluarga, vila baharu dua kamar memenuhi keperluan. Pengalaman makan di sini usah diragukan. Konsep baru Symphony of Flavours meraikan kuisin antarabangsa dengan pendekatan budaya. Adun selera anda dengan menu bespoke yang disediakan Chef Shinichi. Jom kita ke Phuket!

MENCARI DAMAI DI KOTA AIR

Jika Phuket bukan destinasi pilihan, cari kota lain yang memiliki pesona sama. Cuma perlu terbang jauh sedikit untuk ke Wuzhen, China yang dikenali sebagai kota air. Kota kuno ini memiliki magis tersendiri. Andai ke sana menginaplah di Alila yang baru sahaja membuka pintunya November lalu. Seni bina moden membungkus rapi keseluruhan vila yang memiliki 125 suite dan dijalin indah dengan aura desa klasik Wuzhen.

Selusuri sebahagian terusan Beijing – Hangzhou sambil menghanyutkan diri melihat pemandangan di kiri kanan. Perkampungan desa air menebarkan pesona tersendiri tidak kira musim. Sementara masih ada pakej promosi dengan harga menarik sehingga bulan Mac, apa kata anda tempah sekarang? Pakej ‘Old vs New’ akan memberi peluang pada anda untuk tidak sekadar menikmati alam yang cantik, pengalaman hotel mewah tetapi pertunjukan budaya yang pastinya akan membuat jiwa berasa lebih ‘kaya’.

ALILA WUZHEN MENJANJIKAN KETENANGAN DENGAN REKA BENTUK YANG MINIMALIS, ILHAM DARI KEINDAHAN KOTA WUZHEN SENDIRI.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.