ATELIER COLOGNE, GEROBOK HARUMAN PERIBADI

GLAM Lelaki (Malaysia) - - INDEKS SEGAK RAPI -

Pernahkan diri digoda kenangan kala terhidu suatu bauan? Atau emosi terusik apabila mencium aroma kopi sewaktu gerimis berluruhan? Ya, ada bau yang mengingatkan kita pada kampung halaman, pada orang tersayang atau dilempar kembali ke zaman kanak-kanak. Haruman sangat bersifat individualistik. Setiap daripada kita melakar kenangan lewat aroma bau-bauan. Dan kerana itu Atelier Cologne, rumah haruman asal New York dengan jiwa Perancis cuba mengembalikan semua kenangan dan mencipta emosi dengan wangian bespoke.

Ibarat gerobok haruman, Atelier akan mencipta haruman mengikut kemahuan peribadi. Cologne adalah haruman dengan bau asas sitrus yang disuntik dengan ramuan lain seperti jasmin, neroli, kayu cendana, kayu araz dan lain-lain lagi untuk membangkitkan aroma sedap. Hasil kajian terperinci, para artisan butik wangian ini meramu formula unik yang menawarkan bauan segar, elegan dan tahan lama seperti minyak wangi tulen. Bukan wangian sahaja yang dipertaruhkan di sini, tetapi perkhidmatan peribadi seperti bekas kulit serta khidmat ukiran untuk initial, nama atau nota ringkas pada kulit disediakan. Semburkan bauan berbeza mengikut acara, pakaian, suasana, cuaca dan paling penting perasaan anda. Haruman Atelier Cologne ibarat bercerita kisah diri sendiri. Dapatkan cologne eksklusif ini di stor konsep pop-up di Satellite Building, KLIA mulai sekarang sehingga hujung Februari 2019.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.