The Luckiest Boy In Town
Tipulah jika saya tidak memasang angan-angan untuk bekerja terus dengan pasukan editorial terbaik di Kuala Lumpur ini. This is my happy place. Saya sentiasa ambil peluang untuk menolong setiap editorial GLAM. Pernah menulis topik dekorasi bersama Azreezal Hafidz yang kini selesa mengetuai GLAM Lelaki. Ada juga sempat saya membantu menulis tentang dunia kecantikan yang dahulunya diterajui oleh Muhaimin Kamaruddin namun nasihatnya saya memberikan fokus dalam dunia fesyen. Berkat doa, setelah tamat latihan amali,tuah menyebelahi saya dan Wirda Adnan selaku pengarang majalah ketika itu mengambil saya menjadikan saya sebagai pembantu editorial yang baru. Ini adalah momen yang saya kenang sampai bila-bila. Siapa sangka saya yang dahulu akan duduk bersendirian di Kinokuniya sambal membelek majalah GLAM kini bekerja untuk majalah yang saya lihat memberi satu revolusi yang besar dalam dunia fesyen lokal.
Sejak menjadi sebahagian daripada GLAM, saya tidak mahu hanya berjalan perlahan. Saya perlu lari laju, agar dapat menggapai impian yang dipasang sejak universiti. Setiap kerja yang diberikan akan disambut dengan tangan terbuka. Mama saya pernah pesan sewaktu saya memberitahu khabar berita ini, jangan pernah katakan tidak pada setiap tugasan yang diberikan, kerana kita tidak tahu apa yang bakal terjadi di kemudian hari. Azam dipasang kuat, saya sedaya upaya menghabiskan masa untuk GLAM. Saya keluar membawa nama GLAM. Menjadi wakil GLAM berjumpa dengan kenalan lain dalam dunia fesyen adalah tugasan yang cukup berat. Setelah lebih lima tahun mendedikasikan waktu dan tenaga untuk GLAM, awal tahun ini Suzie memberi sepucuk surat. Saya buka dan terpampang jawatan yang saya perlu dipikul untuk tahun mendatang. Saya kini menjawat jawatan Editor Fesyen buat majalah GLAM. Sambil saya membaca setiap patah perkataan Suzie berkata “You are the luckiest boy in town.” Hanya terima kasih mampu saya lafazkan kepadanya. Maka Memo Fesyen pertama ini saya dedikasikan buat Suzie Adnan, seorang mentor yang tahu membimbing protoge, seorang rakan yang tahu memberikan nasihat dalam senyap dan paling penting seorang Editor majalah yang tahu visi dan misinya.