PERLUKAH SUPLEMEN KECANTIKAN

GLAM (Malaysia) - - Jul - OLEH SUZIE ADNAN

Bagi saya amat mudah. Jika kita tidak perlukannya, jangan ambil. Tubuh manusia mampu memperbaiki keadaannya sendiri jikalau tuan punya badan menjalani gaya hidup sihat, bersenam dan mengambil pemakanan sihat. Tapi itu pendapat saya, 10 tahun lepas. Hari ini, kulit tidak lagi seanjal dulu, cepat kering dengan alergi. Produk kecantikan terbaik sekali pun sukar untuk mengembalikan kulit mulus yang dimiliki sedekad lalu. Berat badan juga semakin sukar untuk turun. Teringat saya dahulu, ramai yang bertanyakan apa diet saya kerana makan lah banyak mana sekali pun, tubuh saya tetap ‘maintain’. Namun seperti yang saya sebutkan tadi, bahasa tubuh sudah bertukar dan saya kini sedar yang saya tidak boleh lagi melayan kemahuan tubuh seperti dulu. Sekarang perlu ada sokongan tambahan dan mungkin suplemen kecantikan adalah jawapan terbaik. Saya punya teman-teman yang cukup berdisiplin mengambil pelbagai suplemen dan vitamin setiap pagi. Ada yang mengambil lebih dari 10 biji sehari. Dari vitamin untuk kulit hingga ke rambut dan kuku, saya sendiri naik pening melihatkan jamuan pil dan minuman yang ‘terpaksa’ ditelan hanya dalam satu pagi. Saya akui, mereka tampak cukup berseri-seri, lebih muda dari usia. Tapi ini tidak bermaksud ianya bagus untuk semua. Setiap orang adalah berbeza dan penerimaan terhadap suplemen juga berlainan. Ada juga teman yang saya kenali, mengalamani masalah kesihatan serius akibat terlalu banyak mengambil suplemen. Mungkin dalam kes ini, kita perlu berbalik kepada kesederhanaan. Paling tidak, bertanya kepada doktor peribadi mengenai pengambilan yang bersuaian dengan kehendiri tubuh sendiri. Nasihat saya pula, jangan lupa konsep yang paling asas iaitu minum air putih sebanyak mungkin untuk flush out segala toksin dan radikal bebas. Itu lebih mengesankan!

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.