GLAM (Malaysia)

Elisya Sandha

-

Kematangan Elisya Sandha, 19, terserlah apabila bercerita mengenai industri lakonan. Elisya akui dia banyak belajar teknik lakonan daripada kakaknya Fasha Sandha, 34. Fasha juga banyak memberi nasihat kepadanya mengenai etika bekerja sebagai selebriti antaranya tidak boleh lambat ke set dan berlagak diva juga bersedia menghadapi gosip. Dan seandainya dirinya terpalit dengan gosip, nasihat Fasha jangan ambil pusing mengenainy­a.

Tahun 2018 merupakan tahun kedua si cantik manis ini memasuki gelanggang lakonan. Baginya biarpun masih hijau dalam seni lakonan tetapi sejak kecil lagi Fasha atau angah (panggilann­ya pada Fasha Sandha) sering membawanya ke lokasi penggambar­an. “Waktu saya kecil Fasha selalu bawa saya ke set sehingga tuan direktor semua saya kenal,” ujarnya yang ketika itu menyimpan cita-cita untuk berlakon, tetapi harus patuhi syarat ibunya iaitu dia mesti habiskan SPM terlebih dahulu.

Elisya bersyukur kerana tawaran berlakon untuknya tidak pernah putus. Pun begitu dia akan luangkan masa untuk menyambung pengajian secara sambilan dalam bidang Psikologi. Watak berat yang pernah disandang dan memberi kesan adalah kisah gadis 17 tahun yang dirogol dan kemudian hamil. Watak ini ternyata banyak bermain dengan air mata. “Fasha tidak akan benarkan saya titiskan eyemo atau sebagainya untuk menangis. Kerana dia kata lakonan perlu hadir dari hati, sekiranya tidak boleh titiskan air mata ekspresi wajah sedih dan sayu sudah memadai.”

Tuah menyambar dirinya apabila dia menjadi heroin untuk filem akan datang, ‘Hero The Movie’ mengenai pegawai Bomba gandingan bersama Hisham Hamid yang bakal ditayangka­n pada April tahun depan. Meskipun sebelum ini Elisya berpeluang berlakon dalam beberapa filem tetapi tidak memegang watak utama. Jadi baginya pada usia 19, dia terpilih untuk memegang watak utama ternyata satu kejayaan buat dirinya.

Mungkin ramai yang tidak tahu yang Elisya suka memancing jika ada masa lapang. “Waktu lapang saya suka memancing, ikut hobi ayah saya. Memancing mengajar kita erti bersabar. Dahulunya saya adalah penari dan pernah jadi pengacara untuk tiga siri bagi rancangan kanak-kanak di RTM.”

Elisya akhiri perbualan dengan berterima kasih kepada ibunya yang banyak memberi sokongan moral kepada dia dan adik-beradiknya yang lain untuk berjaya dalam hidup. “Mama saya sangat penyayang. Mama sering melawat kami di lokasi penggambar­an dan memasak untuk kami. Tanpa mama saya tidak akan menjadi pelakon hari ini. Ikon saya dalam dunia lakonan adalah Maya Karin dan kakak saya, Fasha Sandha.”

 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia