MEMO FESYEN

GLAM - - Okt - OLEH AIZAT A IDID

Kata Claudia Schiffer untuk seorang model itu diberi jolokan supermodel, dia perlulah menghiasi kulit majalah seluruh dunia dan orang ramai mudah mengenali wajah itu. Kata mendiang Karl Lagerfeld pula, supermodel itu adalah mereka yang mempunyai nilai populariti yang lebih daripada bintang filem. Tanda aras lain untuk model diberi gelaran supermodel adalah mereka perlulah menjadi pilihan editor untuk menghiasi kulit majalah fesyen, sering muncul di halaman editorial fesyen serta dijulang untuk kempen fesyen penting. Maka persoalan sekarang, siapa model Malaysia yang wajar diangkat sebagai supermodel? Adakah mereka layak diangkat untuk sebaris dengan nama besar seperti Gisele Bundchen, Agyness Deyn atau Coco Rocha? Mungkin hanya Ling Tan yang wajar menjadi supermodel tunggal daripada Malaysia. Resumenya cukup membanggak­an, seperti melewati pentas peragaan buat minggu fesyen penting dunia bagi jenama besar seperti Chanel dan Tom Ford. Selain itu, Ling juga pernah menghiasi kulit majalah serta halaman fesyen buat Vogue. Juga wajahnya menjadi tarikan lensa jurugambar fesyen utama seperti Mario Testino dan Peter Lindbergh. Model Malaysia yang lain mungkin tidak mendapat rezeki yang sama dengan Ling, namun masih berbisa di laman sendiri. Tengku Azura dan Amber Chia boleh dikelompok­kan sebagai model ternama Asia. Masing-masing pernah menjadi wajah buat jenama fesyen global yakni Dior dan Guess. Tinie pula sering menjadi ikutan buat pelapis baru di tanah air. Sekarang nilai status supermodel itu mula berubah lagi. Tidak hanya dikira melihat pada kerjanya mereka dengan kempen dan kulit majalah. Untuk mencapai status supermodel, model itu sendiri perlulah mempunyai pengikut yang ramai dalam akaun sosial media mereka. Angin perubahan baru ini melihat nama seperti Gigi Hadid dan Kendall Jenner sebagai simbol baru supermodel. Mungkin gadis di Malaysia ini perlukan lebih peluang untuk mendapat status model ternama, kerana menjadi ikon supermodel mungkin jauh lagi perjalanan­nya. Tapi, melihat resume Atikah Karim di New York, mungkin dia selayaknya diberikan status model ternama Malaysia selepas Azura dan Amber.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.