GLAM (Malaysia)

MENCARI KESEJAHTER­AAN DIRI

-

TTahun ini berlalu cukup pantas. Kita semua berlari pecut, termengah di tengah jalan tetapi tidak mengalah. Setiap cita yang dipasang awal tahun, semua kita cuba tunaikan. Agar memberi kepuasan pada diri. Secepat tahun ini, begitu juga kepantasan kami buat isu Disember. Setelah sekian lama tidak keluar daripada tanah air. Akhirnya, GLAM sekali lagi menjadi pendahulu dalam merencana trend. Kami dengan jayanya terbang tanah Rumi untuk merakam kulit majalah dan halaman cerita dalaman. Hanya ambil masa empat hari untuk merealisas­ikan projek akhir tahun ini. Undangan Turki kami sambut dengan besar hati. Maka, terbanglah sepasukan GLAM ke Istanbul bersama Che Puan Juliana Evans.

Perasaan itu cukup girang! Tidak dapat diungkap bagaimana hati ini bergelora keriangan. Akhirnya dapat kembara ke luar seketika. Lebih manis, apabila kena pula dengan tema Disember yang mahu mengembali­kan semangat berlibur. Tiba di Istanbul, kami tidak mahu lepaskan masa begitu sahaja. Setiap tempat yang bersejarah kami singgah dan rakam buat 16 halaman eksklusif ini. Lebih berbesar hati apabila mendapat personalit­i sebaik Che Puan Juliana Evans, tidak langsung merungut! Sama-sama mahu mendapatka­n gambar terbaik. Bingkisan daripada Istanbul dengan momen-momen indah Jue berkilauan dalam barang kemas Cartier.

Masuk akhir tahun juga, ramai yang sudah mula merancang percutian masing-masing. Tanpa henti Instagram dipenuhi dengan momen liburan. Saya paling suka apabila melihat orang kita mula menghargai tanah air sendiri. Walaupun diberi kelonggara­n untuk keluar negara. Tetapi mereka masih memilih hanya untuk bercuti di persisiran pantai Malaysia. Tetap mewah dan cantik, setanding dengan apa yang negara lain tawarkan.

Bermanja di Pulau Redang, menikmati matahari terbit di Desaru atau bersendiri di Kudat yang sangat terpencil, puas untuk mengenali diri. Jika diberi kesempatan, saya merancang mahu ke Pulau Rawa atau Batu Batu Resort. Pulau di Johor yang masih terjaga dan punya rasa eksotik, perlu diberikan perhatian kita.

Selain sibuk bercuti untuk menenangka­n minda dan kembalikan kesejahter­aan badan. Musim hujung tahun juga dipenuhi dengan undangan perkahwina­n. Kali ini mungkin resepsinya tidak dihadiri ratusan orang. Ia lebih kecil, hanya undangan buat para ahli keluarga yang rapat juga sahabat yang setia. GLAM Weddings membukukan kisah persanding­an yang privasi. Masih meriah dengan lirikan senyuman para hadirin dan tidak lupa busana raja sehari yang tidak pernah mengecewak­an. Buat para pengantin, boleh cedok idea busana baju yang kami lensakan. Tidak sarat dengan batu-batuan yang dikira sudah lapuk. Lebih selesa mengikut aliran trend era pendamik ini.

Sedang nukilan ini ditulis, nombor pesakit Covid-19 sedang meningkat naik. Sekali lagi, kami mahu mengingatk­an untuk saling berjaga dalam kita menikmati kelonggara­n yang diberikan. Jadilah insan yang lebih peka, jika perlukan dos penggalak sila hadirkan diri ke hospital dan klinik yang ditetapkan. Kita mahu jalani hidup normal yang lebih sihat. Tidak lagi sanggup untuk dibelenggu dengan musibah. Ambil juga masa hujung tahun ini untuk berhenti rehat seketika. Tekan butang pause, pada minda dan diri. Semua sudah jauh berlari pecut buat 2021 dan juaranya adalah kamu sendiri!

 ?? ??
 ?? ?? PENGARAH KREATIF
PENGARAH KREATIF

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia