GLAM (Malaysia)

KESEORANGA­N YANG AMAN

- teks AKHBAR ARIF

100 hari sebelum Ramadan. 30 hari sebelum Ramadan. 10 hari sebelum Ramadan. 5 hari sebelum Ramadan. 1 Ramadan pun tiba. Memang Ramadan yang selalunya saya tunggu-tunggukan. Ia macam memberi perasaan yang cukup unik. Kali ini juga membawa perasaan yang sama. Hati dan minda cukup aman sekali. Ramadan membuatkan diri lebih relaks. Tidak seperti bulan yang lain. Ramadan indah dengan banyak perkara. Saya ambil masa mulia ini untuk mencari diri. Reset untuk memperbetu­lkan semula diri. Saya percaya, orang lain juga seperti ini. Setelah berbulan-bulan sibuk, tibanya Ramadan semua mahu ketenangan. Tahun ini, Ramadan masih sama seperti yang lalu. Masih keseoranga­n menjalani kehidupan.

Jika saya kembali ke 15 tahun yang lalu, masih muda remaja. Mungkin tidak mampu nak jalani Ramadan seorang diri. Masih kuat dalam ingatan tatkala Mama dan Papa membuat keputusan untuk menghantar saya belajar jauh dari mereka. Kata mereka untuk membina keyakinan diri. Seawal belasan tahun, saya terbang beribu batu jauh untuk menelaah di universiti. Aduh! Tahun pertama Ramadan seorang diri, sayu hati sahaja yang tahu. Bagaikan hilang diri! Berbuka puasa hari pertama dengan air mata! Sahabat lain sibuk balik ke rumah masing-masing. Saya dan dua housemates yang lain di kolej. Berbuka puasa dengan milo panas. Mama telefon beberapa minit masuknya Maghrib, terus menangis tanpa henti.

Fast forward sekarang, saya berterima kasih pada Mama dan Papa. Benarlah apa yang mereka mahukan, untuk saya menjadi lebih yakin dengan diri sendiri. Bertahun belajar di tempat orang membuatkan saya lebih peka dengan keadaan sekeliling juga meletakkan diri saya pada tempat yang lebih tinggi. Saya belajar untuk memilih aman dengan diri sendiri. Kadang kala hanya apabila anda berada dalam keseoranga­n, barulah kita mampu belajar tentang diri sendiri. Bukan tidak mahu bergantung pada orang lain, tetapi kita lebih yakin dengan apa keputusan yang diambil. Sejak habis belajar, saya selesa apabila hanya seorang diri. Apatah lagi ketika Ramadan menjelma. Mahu habiskan masa yang cukup mulia ini untuk diri sendiri.

Perasaan untuk bersendiri­an, tidak lagi menjadi tabu buat masa moden ini. Apatah lagi dua tahun berturut-turut, kita semua belajar untuk hidup pada kaki sendiri. Dengan banyak limitasi, kita berjaya mengharung­i dua tahun yang lalu dengan cukup cemerlang. Saya tahu, banyak juga kisah mereka yang hidup seorang diri dan mengganggu perasaan mereka. Ada juga ia memberi efek negatif pada pemikiran saya. Cuma perlu tahu untuk mengalihka­n fikiran itu pada benda yang lebih mesra dengan hati dan minda. Mama pernah pesan, jangan fikir sangat tentang emosi yang mengacau diri, jika rasa bosan seorang diri, keluar lah berjalan-jalan, ambil angin. Sampai sekarang saya ingat akan pesanan itu. Capai kunci kereta dan keluar nikmati pemandanga­n kota ketika malam. Percayalah, ia memberi kepuasan yang cukup unik. Hanya kamu dan lagu kegemaran memenuhkan ruang kereta!

Tak perlulah takut untuk keseoranga­n. Ia tidak mampu melumpuhka­n kamu dalam apa juga keadaan. Saya ambil fasa ini untuk mengenali lebih dalam tentang diri. Keseoranga­n itu adalah normal buat manusia. Ia mungkin satu perasaan yang tidak sempurna. Tetapi anda akan terjumpa dengan satu keunikan dalam ketika bersendiri­an. Saya belajar untuk menghargai momen ini.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia