GLAM (Malaysia)

LEBARAN YANG KAMI TUNGGU

-

Setelah lebaran yang lalu dikawal ketat, kini tiba masa kita raikan bulan kemenangan dalam kalendar Islam dalam satu momen paling indah. Jika dahulu, terbatas untuk pulang ke desa, tahun ini ramai yang sudah membuat perancanga­n untuk beraya di kampung halaman masing-masing. Ada yang masih dibenarkan kerja dari rumah, lantas terus ambil beg, hidupkan enjin kereta dan bekerja dari rumah ibu di kampung. Samalah dengan keluarga besar saya, semua adik beradik lain yang sudah berumah tangga meminta izin pada Mama dan Papa untuk pulang ke kampung suami serta isteri mereka. Nampaknya setelah dua tahun beraya penuh satu rumah, kali ini rumah di Gombak lebih sunyi. Nasib baik kami tinggal dalam satu kawasan dengan semua sanak saudara, tidaklah rasa kosong pada satu Syawal nanti. Apatah lagi kami tinggal di rumah pusaka arwah nenek, maka ramai yang akan datang ke sini untuk beraya.

Banyak momen-momen lebaran yang sampai ke tua saya tidak boleh buang dari ingatan. Arwah nenek suka memasak dan membakar kuih. Paling menjadi kegemaran kami adalah kuih bahulunya! Dibakar sendiri menggunaka­n sabut kelapa. Tiga cucu pertamanya yakni Farhanna, Zara dan saya adalah orang yang sering membantuny­a di dapur. Kami selalu ada special request, mahu bahulu yang dibakar lebih hangus. Rasanya lebih sedap! Selain bahulu, arwah nenek juga akan membuat rendang-rendangnya sendiri.

Ada satu tahun, arwah nenek baharu membeli satu dapur tanah liat dan dia masak rendang daging menggunaka­nnya dapur baharunya itu. Tetapi disebabkan sikap yang cemerkap, saya telah terlanggar dapur tanah liat itu ketika mahu keluar dari pintu dapur. Habis bara api bertaburan dan rendang bersepah di atas tanah. Pertama yang arwah nenek buat adalah menyelamat­kan saya dari bara api. Langsung tidak ada marah atau tinggi suara. Kasih nenek memang sampai ke syurga. Al-fatihah buat nenek.

GLAM mahu mengucapka­n selamat hari raya buat seluruh umat Islam. Tetaplah menjaga diri tatkala sibuk beraya di rumah sanak saudara. Walaupun negara sudah dalam fasa endamik, ini tidak menjadi sebab mengapa kita perlu leka tentang bencana Covid-19. Serta, selamat menyambut hari ibu buat semua ibunda tercinta. Khas buat Che Rohana, dikaulah ratu hatiku!

 ?? ??
 ?? ?? PENGARAH KREATIF
PENGARAH KREATIF

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia