Mercedes-Maybach S 580 4Matic baharu mendefinisikan ULTRA KEMEWAHAN terkini, gabungan susuk rekaan yang menawan berbalas fungsi teknologi tercanggih saat ini.
Mercedes Maybach S-Class baharu menggabungkan kesempurnaan dan solusi teknologi tinggi bagi satu-satunya model flAGsHIP Mercedes-Benz yang dipersembahkan dengan eksklusiviti dan tradisi Maybach. Maybach S-Class ini tampil lebih panjang bagi mengusungkan ruang kabin belakang yang lebih luas. Secara keseluruhannya, model ini diukur dengan panjang 5,469 mm yang mana 18 cm lebih panjang. Namun, kelebarannya masih sama dengan ukuran 1,921 mm hanya susuk konstruksi bumbungnya dibuat lebih tinggi dengan ukuran 1,510 mm lantas memberikan ruang kepala lebih lapang. Jentera ini dibawa ke pasaran tempatan dalam varian S580 4Matic lantas dijual pada harga atas jalan bermula RM1,928,815.76. Maybach S-Class ini turut hadir dengan garis rekaan luaran yang tersendiri. Ia diolahkan dengan penutup bonet hadapan yang dilapisi sirip krom, bersama gril radiator Mercedes-Maybach jalur tiga-dimensi menegak, berbanding melintang pada S-Class standard. Bagi membiaskan keunggulan kemewahannya, MercedesMaybach juga dilayangkan lebih banyak kemasan krom. Termasuk pada kemasan gril bawah bampar hadapan, kemasan diffuser bawah bampar belakang, sepanjang bahagian atas lampu belakang yang merentangi penutup but belakang serta sekeliling cermin pada tingkap sisi. Sekalipun, ia dipertontonkan dengan saiz yang besar, kabin MercedesMaybach S580 ini hanya direka khusus untuk memuatkan empat orang, termasuk pemandu. Ia bertujuan untuk memberikan keselesaan yang maksimum, di mana penumpang belakang bakal menerima pengalaman tempat duduk kelas pertama yang hadir dengan konsol tengah saiz penuh secara standard. Tempat duduknya pula dibaluti kulit Nappa Maybach Exclusive, bersama larasan elektrik untuk bantal perehat kepala dan ottoman. Fungsi lainnya termasuk memori larasan, pemanas dan aliran udara serta sistem urutan. Penumpang belakang turut disediakan meja yang boleh dilipat ke dalam konsol tengah jika tidak digunakan.