Harian Metro

AKSI ‘STUNT’ BAS EKSPRES

- Asrizal Aris dan Siti Farahiyah Aziz am@hmetro.com.my

“Kau bangunlah,” kata pemandu kedua. “Kenapa aku pula? Kaulah yang datang sini,” kata pemandu pertama pula.

Walaupun pelik dan tidak faham dengan perbualan mereka, wartawan Harian Metro terus menanti apa tindakan dilakukan dua pemandu bas ekspres terbabit.

Menyusul kemudian adegan amat mengejutka­n apabila dua pemandu berusia 30-an dan 40-an itu bertukar tugas dalam keadaan bas bergerak pada kelajuan 60 kilometer sejam (km/j).

Perbuatan tidak beretika mereka yang menimbulka­n situasi cemas itu dikesan ketika wartawan melakukan penyamaran dalam bas ekspres untuk perjalanan dari Kuala Terengganu ke Terminal Bersepadu Selatan (TBS), di sini.

Wartawan yang pada ketika itu tempat duduk belakang pemandu dapat melihat dengan jelas bagaimana aksi boleh mengundang padah itu dilakukan.

Ketika pemandu pertama masih memandu, pemandu kedua berdiri dan melangkau di hadapan pemandu pertama dalam keadaan separa duduk.

Kemudian pemandu pertama bangun sambil bergerak keluar ke sisi kiri manakala pemandu kedua duduk di tempat memandu untuk meneruskan perjalanan hingga ke TBS.

Mujur ketika itu bas masih dalam keadaan stabil kerana bergerak pada jalan lurus. Namun, berdasarka­n pengalaman wartawan menaiki bas, belum ada mana-mana pemandu bas berani melakukan aksi berbahaya itu itu.

Bas itu memulakan perjalanan dari Kuala Terengganu pada jam 11 malam membawa cuma 11 penumpang membabitka­n tiga lokasi untuk menurunkan penumpang iaitu di Kuantan serta Perhentian Pekeliling dan TBS, di sini.

Selepas menurunkan sebahagian besar penumpang di Kuantan, wartawan menyangka pemandu pertama meneruskan perjalanan hingga ke TBS memandangk­an dia tidak berhenti di Hentian Maran untuk bertukar pemandu sebagaiman­a sepatutnya.

Bagaimanap­un sebaik saja melepasi kawasan Temerloh, pemandu kedua yang terjaga selepas nyenyak tidur sejak dari Marang, Terengganu, mula merungut kerana tidak dikejutkan rakannya sambil berjalan ke arah tempat pemandu.

Selepas beberapa minit menyalahka­n antara satu sama lain, mereka bersetuju bertukar pemandu dalam keadaan bas bergerak.

Tiga lagi penumpang tidak menyedari situasi cemas itu kerana ia berlaku sekitar jam 4.15 pagi ketika mereka nyenyak tidur.

Kira-kira setengah jam kemudian, pemandu kedua tadi memberhent­ikan bas untuk ke tandas selepas bas melepasi Tol Karak.

Mereka sepatutnya boleh bertukar giliran memandu bas pada waktu itu dan bukannya ketika bas bergerak.

Meskipun kedua-dua pemandu terbabit melakukan tindakan berbahaya, mereka masih memandu bas mengikut had laju ditetapkan.

Wartawan juga mendengar pemandu pertama berbual dengan rakannya yang dia suka berehat di dalam bas biarpun pengurusan TBS menyediaka­n ruang tidur.

Ini kerana dia bimbang berlakunya kehilangan barang peribadi dan tidak mahu tidur terlalu lena.

Sebelum itu, wartawan menyamar sebagai penumpang untuk laluan dari TBS ke Kuala Terengganu pada siang hari, namun tiada

„ Penyamaran wartawan HM dedah detik bahaya nyawa penumpang

sebarang perbuatan berbahaya dan tidak beretika dikesan.

Bas yang dinaiki pada waktu siang itu dipandu pemandu berusia 50-an dan mereka sangat berhati-hati memandangk­an bas dipenuhi penumpang.

Oleh itu, bagi perjalanan pada waktu malam wartawan sengaja memilih waktu perjalanan paling lewat iaitu 11 malam menaiki bas ekspres yang kurang dikenali.

 ?? Pemandu bas ?? Kenapa aku pula? Kaulah yang datang sini
Pemandu bas Kenapa aku pula? Kaulah yang datang sini

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia