Harian Metro

Mujur sempat angkat anak OKU

-

Balik Pulau: “Mujur saya bertindak pantas mengangkat anak, Siti Hawa yang terbaring di lantai berikutan dia cacat anggota badan dan tidak mampu bergerak dengan sendiri.

“Sekiranya saya lambat, mungkin dia sudah lemas,” kata Salmiah Yusuf, 42, penduduk di Kampung Nelayan, Teluk Bahang, di sini, selepas rumahnya dilanda banjir kilat, semalam.

Salmiah yang menetap lebih 20 tahun di kampung berkenaan berkata ketika kejadian, hanya dia dan anaknya berusia 14 tahun yang cacat selepas demam panas ketika kecil itu sahaja berada di rumah.

“Ketika kejadian, saya berehat di kerusi namun secara tiba-tiba air masuk dengan laju ke dalam rumah.

“Saya terus bangun dan mengangkat Siti Hawa ke kerusi yang lebih tinggi supaya dia tidak lemas,” katanya ketika ditemui di dewan serbaguna yang dijadikan pusat pemindahan sementara di Teluk Bahang, di sini, semalam.

Menurut Salmiah yang juga ibu tunggal tiga anak berkata, kawasan terbabit pernah dilanda banjir 10 tahun lalu.

“Kira-kira 10 tahun lalu kampung ini pernah dilanda banjir dan air hanya paras lutut namun, hari ini (semalam), air masuk ke rumah lebih dari paras pinggang.

“Tiada barang berharga yang dapat diselamatk­an, saya hanya tinggal sehelai sepinggang,” katanya ketika ditemui.

Salmiah berkata, ketika kejadian, dua lagi anaknya tiada di rumah berikutan pergi melawat ibu saudaranya di Tanjung Bungah, dekat sini.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia