Landasan pacu perniagaan
Projek Kereta Api Laju beri manfaat kepada rakyat Malaysia, Singapura
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yakin apabila siap kelak, projek Kereta Api Laju (HSR) akan meningkatkan perhubungan antara rakyat Singapura dan Malaysia serta jaringan perniagaan.
Menurutnya, hubungan antara kedua-dua negara adalah kukuh dan sejak mengambil alih pemerintahan negara sebagai Perdana Menteri, beliau menyokong semangat untuk kebaikan bersama.
“Insya-Allah, HSR akan mengeratkan lagi perhubungan antara rakyat dengan rakyat dan meningkatkan jaringan perniagaan. “Apabila siap kelak,
rakyat Malaysia boleh menikmati nasi lemak di Kuala Lumpur, ketam bercili di Singapura dan kembali untuk makan malam rendang bersama keluarga.
“Bersama-sama kita boleh memacu dalam kerjasama perdagangan dan hubungan antara rakyat dengan rakyat. Kebaikan bersama antara Malaysia dan Singapura ini digariskan dalam pelan pembangunan kedua-dua negara,” katanya dalam catatan di blog rasminya, semalam.
Najib berkata, kerajaan kedua-dua negara yakin dengan urus tadbir yang baik dapat
membangunkan ekonomi yang kukuh, inklusif dan mampan berdasarkan asas yang kukuh.
“Kepercayaan kami yang sama dalam kestabilan, keharmonian dan kepelbagaian melengkapkan aspirasi bersama untuk kedua-dua negara dan rantau ini.
“Hari ini pertumbuhan nyata rantau ASEAN adalah bukti kepada kejayaan usahasama bersama dengan rakan ASEAN lain.
“Pai global adalah besar, Malaysia dan Singapura adalah dalam kedudukan strategik untuk terus mendahului kepentingan dalam pelaburan langsung asing (FDI),” katanya.
Menurutnya, dalam dunia yang bergerak pantas, nasib memihak kepada mereka
yang pantas mengambil peluang.
“Kita memutuskan untuk mengambil langkah ke hadapan dalam soal perhubungan antara rakyat kedua-dua negara dengan menandatangani memorandum persefahaman (MoU) HSR yang menghubungkan Kuala Lumpur dan Singapura. Esok (hari ini) Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong akan melawat Malaysia.
“Jaringan perhubungan secara keseluruhan dan khususnya pengangkutan awam adalah amat dekat di hati saya. Hari ini, dalam kita membangun bersama, saya akan pastikan kerajaan menyediakan perkhidmatan pengangkutan yang lancar dan bersepadu kepada rakyat,” katanya.