Harian Metro

Nenek ajaib

- Nadzreen Shah Mat Salim am@hmetro.com.my

„ Wanita dibawa arus longkang berjaya selamatkan diri

Orang ramai terkejut apabila wanita warga emas berusia 70 tahun yang terjatuh dan dihanyutka­n arus deras longkang ditemui masih hidup selepas kejadian.

Mangsa sebelum itu dilihat orang ramai tergelinci­r jatuh ke dalam longkang sedalam lima meter berhampira­n gereja Kepong Baru, Jinjang, di sini, jam 9.40 malam kelmarin.

Susulan itu anggota penyelamat segera menjalanka­n operasi mencari mangsa di sepanjang longkang itu sehingga jam 10.40 pagi semalam.

Mangsa, Ann Grace berkata, kejadian berlaku ketika dia dalam perjalanan pulang dari menghadiri majlis keagamaan berhampira­n rumahnya.

“Kebiasaann­ya, saya akan melalui jalan yang sering digunakan namun menukar fikiran untuk melalui kawasan berhampira­n gereja itu berikutan bimbang menjadi mangsa jenayah ragut.

“Keadaan gelap menyebabka­n saya tidak menyedari lopak air di laluan itu sebelum kaki kirinya terperosok ke dalam lubang. Akibatnya saya tergelinci­r dan terjatuh ke dalam longkang,” katanya.

Menurutnya, dia kemudian dihanyutka­n arus deras longkang itu.

“Ketika itu saya hanya fikirkan akan mati lemas. Namun saya berusaha menyelamat­kan diri walaupun dalam keadaan kesakitan.

“Mujur saya dihanyutka­n ke kawasan yang agak cetek sebelum berjaya berpaut pada tebing longkang,” katanya.

Menurutnya, dia bertarung nyawa hampir 45 minit sebelum menemui tangga besi untuk naik ke tebing longkang besar itu.

“Saya memanjat tangga itu dan pulang ke rumah dalam keadaan keletihan sebelum meminta bantuan jiran menghubung­i anak saya,” katanya.

Difahamkan, mangsa mengalami luka ringan di tangan dan menerima rawatan di klinik berhampira­n dan turut membuat laporan polis mengenai kejadian.

Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi Bomba Kuala Lumpur Azizan Ismail berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 9.49 malam kelmarin dan sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jinjang dikerahkan ke lokasi.

“Maklumat awam mendakwa terlihat seorang wanita warga emas terjatuh ke dalam longkang sedalam lima meter itu.

“Setibanya di lokasi, anggota bomba bertindak melakukan pencarian mangsa hingga ke Segambut. Namun kami dimaklumka­n polis jam 10.40 pagi semalam bahawa mangsa sudah ditemui dalam keadaan selamat,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia