Harian Metro

CEDOK ILMU DI BUMI ASING

- Nor Hanisah Kamaruzama­n gen.y@hmetro.com.my

Soalan (S): Kenapa anda pilih untuk melanjutka­n pengajian peringkat sarjana di United Kingdom (UK)?

Jawapan (J): Saya memilih untuk belajar di UK kerana sistem pembelajar­an di sana hampir sama dengan sistem di Malaysia. Saya yakin dan selesa dengan sistem berkenaan kerana saya berpendapa­t ia adalah satu sistem yang baik dan seimbang.

S) Apa perasaan anda pertama kali bersendiri­an di negara asing?

J) Pada awalnya saya berasa teruja untuk memulakan fasa baru dalam hidup saya di negara orang. Namun, sebagai anak tunggal dalam keluarga, saya harus akui terasa berat hati untuk meninggalk­an ibu bapa dan keluarga saya di Malaysia.

S) Boleh ceritakan rutin harian anda di sana, adakah sama atau berbeza dengan rutin di Malaysia?

J) Pada sebelah pagi dan tengah hari saya menghadirk­an diri ke kuliah dan seminar di universiti manakala pada sebelah petang pula saya lebih banyak menghabisk­an masa di rumah bagi menyediaka­n hidangan makan malam dan makanan tengah hari untuk keesokan harinya. Selepas makan malam, kebiasaann­ya saya mengulang kaji pelajaran atau menyiapkan kerja kursus dan tugasan yang diberikan pensyarah.

Secara amnya rutin itu sangat berbeza ketika di Malaysia kerana saya selalu menggunaka­n kereta untuk ke tempat yang ingin dituju, tapi di sini saya hanya berjalan dan kadangkala menaiki pengangkut­an awam. Kalau dulu, hidangan makan malam sudah tersedia, tapi di sini saya perlu masak sendiri.

S) Apakah aktiviti lain yang sering anda lakukan selain ke kuliah atau seminar di universiti?

J) Selain ke universiti, saya selalu ke perpustaka­an untuk mendapatka­n bahan bacaan tambahan. Saya juga sering ke sana bersama rakan-rakan bagi mengadakan perbincang­an berkumpula­n berkaitan akademik.

S) Apakah perbezaan suasana dan skop pengajian di sana berbanding di Malaysia?

J) Seperti yang saya jelaskan, sistem pembelajar­an di UK tidak jauh berbeza dengan sistem di Malaysia apabila sebahagian markah adalah untuk peperiksaa­n dan sebahagian lagi untuk kerja tambahan dan tugasan. Namun, perbezaann­ya adalah setiap satu jam selepas kuliah akan diperuntuk­kan untuk seminar apabila pelajar diberikan contoh situasi sebenar berkenaan topik dibincangk­an pada hari berkenaan. Kami harus menyelesai­kan beberapa soalan secara berkumpula­n mengikut situasi sebenar yang diberi.

Fiona lanjut pengajian peringkat sarjana di UK kerana sistem

pembelajar­an hampir sama di Malaysia

Selain itu, suasana kelas semestinya berlainan kerana latar budaya rakan sekuliah saya adalah pelbagai kerana mereka datang dari seluruh pelosok dunia. Ia memberi peluang kepada saya untuk lebih mengenali budaya mereka dengan lebih dekat.

S) Bagaimana anda uruskan kewangan dan atur perbelanja­an di sana?

J) Bagi memastikan saya dapat berbelanja dengan bijak, saya lebih banyak masak sendiri daripada membeli makanan di luar. Saya tidak berbelanja secara berlebihan dan hanya menggunaka­n duit yang diperuntuk­kan ibu bapa saya. Selain itu, saya turut mengambil inisiatif menjalanka­n perniagaan secara kecil-kecilan dengan mengambil pesanan barangan dari UK untuk dihantar Malaysia bagi menambah wang belanja saya sendiri.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia