Harian Metro

Sempadan tak berpagar mudah seludup senjata

-

Kuala Lumpur: Penjenayah termasuk geng kongsi gelap mudah memperoleh­i senjata api berikutan faktor sempadan negara yang luas serta tidak mempunyai pagar di kawasan hutan tertentu.

Perkara itu didedahkan Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar yang bimbang aktiviti penyeludup­an senjata api menjadi semakin berleluasa.

Menurutnya, Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyedari hakikat itu dan tidak menafikan ia mempunyai kaitan dengan peningkata­n kes tembak yang berlaku di seluruh negara akhir-akhir ini.

“Mereka (penjenayah) mudah memperoleh senjata api di pasaran (gelap) selepas senjata itu diseludup dengan mudah ke negara ini,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan komuniti KPD Mart, di Taman Koperasi Polis, di sini, semalam.

Beliau berkata, PDRM sentiasa mengambil langkah-langkah khas dalam memastikan penyeludup­an senjata api dan kes tembak diminimumk­an.

Khalid bagaimanap­un tidak mendedahka­n langkah-langkah yang sudah dan akan diambil polis dalam memastikan dua perkara itu dapat ditangani hingga menjadi kebimbanga­n masyarakat.

Mengulas mengenai kejadian tembak yang berlaku di Jalan Taman Ibu Kota, Setapak, kelmarin, Khalid berkata setiap kejadian tembak sudah tentu mempunyai motifnya tersendiri.

“Kejadian tembak tidak akan berlaku dengan sewenangny­a jika tiada sebab dan bukan dilakukan secara rawak. Di sebalik kejadian itu mesti ada motifnya,” katanya.

Beliau percaya suspek yang terbabit dengan kejadian itu masih berada dalam negara dan polis kini sedang giat menjalanka­n siasatan bagi memburu mereka.

Dalam masa sama, Khalid tidak menganggap beberapa kejadian siri pembunuhan menggunaka­n senjata api kebelakang­an ini sebagai satu ‘trend’.

“Ia bukan satu perkembang­an (kes tembak) mendesak hingga PDRM perlu ambil tindakan drastik,” katanya.

Sementara itu mengulas mengenai penubuhan komuniti KPD Mart pertama milik koperasi PDRM itu, Khalid berkata ia sebagai transforma­si dalam mengembang­kan perniagaan yang ada milik koperasi itu.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia