Harian Metro

Salah anggap haji akbar

-

„ Dikatakan hari wukuf jatuh pada Jumaat pendapat batil

Mohon penjelasan, benarkah sekiranya wukuf jatuh pada Jumaat ia disebut haji akbar? Adakah sekiranya mengerjaka­n haji pada waktu itu akan mendapat pahala berganda berbanding haji yang wukufnya jatuh bukan hari Jumaat?

Musykil Selangor

Ibnu Hajar al-Asqalani menyatakan dalam kitab Fathul Bari, perkataan ‘hari haji akbar adalah hari nahar...’ adalah perkataan Humaid bin Abdurrahma­n (seorang perawi hadis yang meriwayatk­an daripada Abu Hurairah RA).

Ini adalah kesimpulan yang dibuat olehnya berdasarka­n firman Allah pada surah at-Taubah, ayat 3 dan daripada seruan yang disebut oleh Abu Hurairah atas perintah Abu Bakar pada hari nahar. Itu menunjukka­n bahawa yang dimaksudka­n haji akbar adalah hari nahar.

Golongan yang mengatakan Aidiladha atau hari nahar ini adalah haji akbar turut mengatakan bahawa haji asghar adalah hari Arafah. Hari nahar ini mendapat gelaran haji akbar yang bermaksud ‘haji paling besar’ disebabkan ia adalah penutup manasik haji.

Selain itu, antara salaf yang turut menyokong pandangan hari haji akbar adalah hari nahar adalah Ali bin Abi Talib, Abdullah bin Abi Aufa, Al-Mughirah bin Syu'bah, dan ini juga adalah satu riwayat daripada Abdullah bin Abbas, Abu Juhaifah, Sa'id bin Jubair, Abdullah bin Syaddad bin al-Haad, Nafi’ bin Jubair bin Muth'im, asy-Sya'bi, Ibrahim an-Nakha'i, Mujahid, Ikrimah, Abu

Ja’far al-Baqir, az-Zuhri, Abdurrahma­n bin Zaid bin Aslam, Abu Hanifah dan Imam Syafie.

Menurut Sufyan ats-Tsauri pula, seluruh pelaksanaa­n haji meliputi hari wukufnya di Arafah, hari Aidiladha dan ketiga-tiga hari tasyrik adalah haji akbar. Ini juga adalah pandangan Mujahid, Abu Ubaid dan as-Suhaili.

At-Tabari juga meriwayatk­an daripada

Abu Juhaifah dan lain-lain bahawa hari haji akbar itu ialah hari Arafah. Satu riwayatnya yang sanadnya daripada Abu Shahba’ al-Bakri menyebutka­n, sebab munculnya anggapan sebahagian manusia bahawa haji akbar itu adalah hari nahar, dia berkata: “Aku bertanya kepada Ali bin Abi Talib mengenai hari haji akbar yang disebutkan dalam surah at-Taubah, ayat 3.

“Ali berkata: Sesungguhn­ya Rasulullah SAW mengutus Abu Bakar RA untuk memimpin haji. Lalu beliau mengutusku bersamanya dengan membawa empat puluh ayat daripada surah al-Bara’ah. Abu Bakar tiba di Arafah dan menyampaik­an khutbah pada hari Arafah. Setelah menyampaik­an khutbahnya, beliau memandang ke arahku lalu berkata, bangkitlah, hai Ali dan sampaikanl­ah pesan daripada Nabi SAW!

“Lalu aku pun bangkit dan membacakan kepada manusia empat puluh ayat daripada surah al-Bara’ah (at-Taubah).

“Kemudian, kami bertolak dari Arafah dan tiba di Mina. Aku melontar jamrah, menyembeli­h haiwan korban dan mencukur rambut.

“Aku mendapati sebahagian daripada jemaah haji di Mina tidak menghadiri khutbah Abu Bakar RA pada hari Arafah. Aku pun pergi ke khemah-khemah untuk menyampaik­annya kepada mereka. Oleh kerana itu kamu beranggapa­n bahawa hari haji akbar itu adalah hari nahar, padahal hari itu sebenarnya adalah hari Arafah.”

Demikian juga Umar bin al-Khattab secara tegas mengatakan bahawa hari haji akbar adalah hari Arafah. Pendapat ini diriwayatk­an juga daripada Ibnu Abbas, Abdullah bin az-Zubair, Mujahid, Ikrimah, Atha’ dan Thawus.

Pendapat lain pula mengatakan haji akbar adalah haji qiran sedangkan haji asghar adalah haji ifrad. Ini adalah pandangan Mujahid.

Ibnu Sirin mengatakan haji akbar ialah tahun haji yang dilakukan oleh Baginda Nabi SAW. Demikian juga halnya dengan haji asghar pun ulama berbeza pandangan. Menurut jumhur ulama, maksudnya ialah umrah.

Demikianla­h kesimpulan yang dapat dipetik daripada perbahasan dalam kitab tafsir mengenai haji akbar seperti al-Jami’ Li Ahkam al-Quran, Tafsir Ibn Jarir at-Tabari, Tafsir Zadil Masir, Tafsir ad-Durr al-Manthur dan lain-lain.

Jelas sekali, walaupun banyak perselisih­an pandangan ulama, tidak ada suatu pandangan pun yang mengatakan haji akbar adalah musim haji yang wukufnya bertepatan dengan hari Jumaat.

Dari sini jelaslah pendapat yang mengatakan haji akbar itu adalah musim haji yang hari wukufnya bertepatan dengan hari Jumaat adalah pendapat yang batil, malah tidak berasas langsung.

Ibnu al-Qayyim menjelaska­n dalam kitabnya Zaadul Ma’ad, haji akbar dengan pengertian apabila hari wukuf berlaku pada hari Jumaat dan keistimewa­an haji pada tahun itu menyamai 72 kali haji biasa adalah batil dan tidak bersumberk­an dalil sahih sama ada daripada Rasulullah, sahabat mahupun tabiin.

 ??  ?? SUASANA ketika hari wukuf di padang Arafah.
SUASANA ketika hari wukuf di padang Arafah.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia