Harian Metro

Bertahan 2 bulan aje...

- Siti Farahiyah Aziz am@hmetro.com.my

„ Dua bayi derita jantung berlubang perlu pembedahan segera

“Perasaan saya bercampur baur dan tidak dapat digambarka­n selepas doktor memaklumka­n anak saya mampu hidup hanya dua bulan jika tidak melakukan pembedahan dengan segera,” kata suri rumah Ros Hazita Abd Manan, 42.

Anak keempatnya, Muhammad Luthfi Anaqi Shuzali yang kini berusia dua bulan disahkan menghidap masalah saluran jantung dan jantung berlubang selepas tujuh hari dilahirkan.

Ros Hazita berkata, anaknya dibenarkan pulang selepas dua hari dilahirkan tetapi dia membuat keputusan untuk mengambil Luthfi keesokan hari memandangk­an sudah lewat malam.

“Bagaimanap­un, tujuan mengambil anak bertukar kepada berita mengejutka­n kerana dia perlu ditahan di hospital akibat masalah jantung dan perlu pengesahan daripada doktor pakar.

“Dari Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu, kami ke Hospital Raja Perempuan Zainab, Kelantan untuk berjumpa pakar mengenai masalah yang dihidapi anak.

“Doktor memaklumka­n keadaan bayi normal ada dua saluran jantung tetapi berbeza dengan Luthfi yang mana hanya satu saja berfungsi dan doktor perlu menambah satu lagi saluran berkenaan bagi membantu pernafasan­nya,” katanya ketika ditemui di Hospital Gleneagles, di sini, semalam.

Ros Hazita berkata, anaknya kini bergantung sepenuhnya kepada mesin pernafasan dan dia berharap orang ramai dapat membantuny­a menampung kos pembedahan RM80,000 kerana menghadapi masalah kewangan.

Sementara itu, seorang lagi bayi, Tan Wei Lim yang berusia setahun juga disahkan oleh pakar menghidap masalah jantung berlubang sejak April lalu.

Bapanya, Tan Choon Tong, 37, berkata, sebelum ini anaknya aktif dan tidak menunjukka­n apa-apa reaksi sehingga demam, batuk dan selsema berlarutan.

“Doktor menyaranka­n kami supaya melakukan pembedahan dengan segera dan anggaran kos pembedahan yang diperlukan adalah RM50,000,” katanya.

Orang ramai yang ingin menghulurk­an bantuan boleh menghantar cek atas nama Tabung Kebajikan Media Prima ke alamat Bahagian Kumpulan Komunikasi Korporat, Media Prima Berhad, Tingkat 1, Anjung Riong, Balai Berita, 31, Jalan Riong, 59100 Kuala Lumpur dengan nama kanak-kanak itu di belakang cek atau ke akaun Maybank 5141-0532-3170.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia