Harian Metro

Rai Hari Kebangsaan di seluruh tanah air

-

Kuala Lumpur: Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak mahu sambutan Hari Kebangsaan tahun ini dirayakan di seluruh pelosok tanah air termasuk di desa dan mukim.

Beliau berkata ini selaras dengan misi kerajaan untuk menjadikan sambutan Hari Kebangsaan sebagai sambutan ‘daripada rakyat untuk rakyat’.

“Kita tidak mahu Hari Kebangsaan hanya disambut di kawasan bandar ... kita mahu rakyat menyambutn­ya di peringkat komuniti masing-masing supaya gelora semangat itu lebih dirasai,” katanya ketika berucap pada majlis minum petang bersama rakan strategik sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia di sini semalam.

Turut hadir Ketua Setiausaha Kementeria­n Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Sharifah Zarah Syed Ahmad.

Sehubungan itu, Salleh berkata pihaknya akan melancarka­n program baharu “Merdeka@Komuniti” yang akan menyaksika­n kibaran bendera negara dapat dilihat di seluruh negara sempena bulan merdeka.

Bagi menjayakan misi murni itu, beliau berkata kerjasama daripada semua pihak termasuk individu dan syarikat korporat amat diperlukan.

“Kita perlu lebih ramai rakan strategik untuk bersama-sama menjayakan sambutan Hari Kebangsaan kerana tugas menyemarak­kan semangat patriotism­e dan cinta negara ini bukanlah tugas kerajaan semata-mata,” katanya.

Salleh berkata kerajaan mahu menjadikan sambutan Hari Kebangsaan sebagai satu “acara ikonik” negara yang sentiasa ditunggu-tunggu oleh orang ramai yang mampu menggelora­kan semangat patriotik rakyat Malaysia.

“Kita mahu orang ramai menantikan kehadiran bulan Ogos, Bulan Kebangsaan dan menyokong dengan mengibarka­n Jalur Gemilang serta hadir ke program yang dianjurkan,” katanya.

– BERNAMA

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia