Harian Metro

Inspirasi permainan video

-

Kuching: Minat dengan senjata api dan permainan video berbentuk peperangan membantu penembak Selangor Rishipal Singh meraih dua emas dalam acara 10 meter air pistol individu dan berpasukan lelaki semalam.

Rishipal bersama dua lagi rakan sepasukann­ya, Tan Tong Tat dan Ng Chen Shin memecahkan rekod temasya selepas mengumpul 1,697 mata, mengatasi rekod lama 1,680 yang dilakukan trio Pahang pada 2012.

Menurut Rishipal yang membesar di New Zealand, dia agak terkejut selepas mempamer persembaha­n cemerlang kerana sebelum ini tidak pernah mengumpul 574 mata (menyamai rekod SUKMA) kerana catatan peribadi terbaiknya ialah 572.

“Ini kali pertama saya meraih dua emas sekali gus dalam individu dan berpasukan, sekurang-kurangnya saya berjaya membuatkan keluarga dan jurulatih saya bangga,” katanya yang berjaya mempertaha­nkan emas dua tahun lalu di

Perlis dalam acara individu.

Salah satu faktor mengapa dia berjaya beraksi cemerlang adalah dengan memastikan fikirannya tenang.

“Sebelum ini saya selalu membayangk­an mampu mencatat mata tertinggi, menaiki podium dan menang medal. Kesudahann­ya saya beraksi dengan buruk. Kali ini saya membiarkan fikiran kosong dan ia ternyata berjaya.

“Saya juga berharap mampu mewakili Malaysia pada masa akan datang dengan menjadikan aksi di SUKMA sebagai batu loncatan. Saya mahu membantu negara di Sukan SEA tahun depan,” katanya yang akan berusia 21 tahun September ini.

Karier Rishipal bermula pada 2011 apabila bapanya Charanjit Singh yang juga bekas anggota polis membawanya ke Lapang Sasar Subang dan bakatnya mula dikesan di situ walaupun hanya beberapa hari mencuba sukan menembak.

“Saya juga sangat meminati senjata api dan permainan video peperangan ‘Counter Strike’,” katanya yang tidak sabar untuk melihat penembak negara Jonathan Wong beraksi di Olimpik Rio bulan depan.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia