Harian Metro

Misteri terjawab

-

Kota Marudu: Misteri kehilangan seorang lelaki yang juga orang kurang upaya sejak tiga hari lalu selepas keluar memetik lada di kebun di Kampung Batutai, akhirnya terjawab apabila mangsa ditemui selamat, semalam.

Mangsa, Boboi Langiu, 18, yang mengalami sindrom Down ditemui pasukan penyelamat terdiri daripada polis, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Jabatan Sukarelawa­n Malaysia (RELA) dan penduduk kampung lima kilometer dari Kampung Batutai pada jam 11.30 pagi.

Ketua Polis Daerah Kota Marudu Superinten­dan Mohd Izaan Abdullah berkata, pihaknya menerima laporan daripada bapa saudara mangsa yang mengatakan pada Rabu lalu, Boboi keluar memetik lada di kebun mereka pada jam 4 petang dan tidak kembali ke rumah selepas itu.

“Menurut bapa saudara mangsa, beberapa ahli keluarga cuba mencari namun gagal sebelum membuat laporan polis pada Khamis lalu.

“Selepas laporan dibuat, operasi mencari dan menyelamat (SAR) dilancarka­n membabitka­n anggota polis, JBPM, JPAM dan RELA dengan dibantu penduduk kampung,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Bagaimanap­un, katanya, mangsa masih gagal ditemui dan sebaik SAR disambung semalam, mangsa berjaya ditemui oleh pasukan penyelamat.

“Mangsa ditemui pada jam 11.30 pagi tadi (semalam) di kebun sawit Kampung Kirangawan iaitu kira-kira lima kilometer dari rumah pengadu.

“Ketika ditemui, mangsa dalam keadaan sihat dan tidak mengalami kecederaan sebelum dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Marudu untuk pemeriksaa­n,” katanya.

Menurutnya, mangsa kemudian dihantar ke Hospital Kota Marudu untuk pemeriksaa­n kesihatan.

“Sebaik sahaja mangsa ditemui selamat, operasi SAR dihentikan,” katanya.

Beliau berkata, operasi SAR turut dibantu Unit Anjing Pengesan (K9) Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah.

 ??  ?? MANGSA ditemui selamat.
MANGSA ditemui selamat.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia