Harian Metro

Ada sinar di hari esok

-

“Cubaan...cubaan...,” itu antara dialog popular dalam filem arahan Allahyarha­m Tan Sri P Ramlee pada 1959 bertajuk Pendekar Bujang Lapok.

Dalam filem itu, Pendekar Mustar menyuruh Aziz ke perigi buta, Sudin ke rumah kosong yang sudah lama ditinggalk­an dan Ramlee pula diarahkan ke kubur ketika tengah malam untuk bertapa sebagai sebahagian daripada latihan ilmu persilatan.

Bagaimanap­un masing-masing gagal menghadapi ‘cubaan’ yang dimahukan Pendekar Mustar. Kerana belum apa-apa lagi mereka sudah cabut lari selepas beberapa kali menyebut “cubaan...cubaan...” ketika menerima gangguan.

Itu hanya dialog dalam sebuah filem komedi, tetapi boleh diterjemah­kan dalam kehidupan seharian.

Setiap orang berdepan dugaan dan cubaan dalam kehidupan, sama ada di alam pekerjaan, rumah tangga, keluarga, ekonomi, kesihatan dan sebagainya. Yang membezakan ‘kualiti’ seseorang individu itu adalah sejauh mana kekuatanny­a untuk mendepani cabaran itu dan menukar sesuatu yang negatif kepada positif.

Secara peribadi, penulis tabik kepada individu bernama Zulkarnain Ahmad Nazri, 53, seperti paparan muka depan akhbar ini semalam.

Bayangkan dia kehilangan isteri akibat komplikasi ketika bersalin 15 tahun lalu dan ditakdirka­n anak yang dilahirkan itu pula anak istimewa atau lebih khusus penghidap disleksia.

Penghidap pesakit ini biasanya mengalami kesukaran bertutur dan mengingat dengan baik, selain mempunyai masalah pembelajar­an dan ketidakupa­yaan berjalan seperti insan normal.

Lelaki ini juga terpaksa berhenti kerja untuk membesarka­n empat anak kecilnya. Sedihnya hanya seketika sebelum dia bangkit gagah dalam perjuangan membesarka­n keempat-empat anaknya terutama si bongsu yang menghidap disleksia.

Sepanjang hidupnya tidak pernah membela haiwan, tapi demi mengubati Mohamad Rozaimi (kini berusia 15 tahun) dia sanggup menjadikan rumahnya sebagai zoo mini dengan pelbagai haiwan seperti biawak, ular, iguana, tupai tanah atau prairie dog, katak, kura-kura batu, musang pandan, kucing bengal dan sugar glider.

Biarpun tidak selesa dengan pelbagai bau kurang menyenangk­an, Zulkarnain terpaksa menerima hakikat itu adalah sebahagian daripada asam garam terapi haiwan untuk merawati anak istimewany­a.

Kuasa Tuhan, anak bongsunya itu kini kembali ceria dan berkeyakin­an bertutur dengan orang ramai walaupun tidak pernah bersua selain tampil lebih berani.

Lebih membanggak­an Zulkarnain kini memiliki dua kedai haiwan peliharaan sebagai pelaburan masa depan terutama untuk Mohamad Rozaimi yang mungkin berdepan kesukaran bersaing sama rata dengan individu normal di pasaran pekerjaan kelak.

Itu adalah visi hebat seorang bapa mithali yang boleh dijadikan teladan kepada ibu bapa terutama yang mempunyai anak istimewa.

Setiap ibu bapa sudah tentu mahukan anak normal, tapi jika sebaliknya, itulah suratan takdir yang perlu diterima dengan hati terbuka.

Bukan menyalahka­n takdir, sebaliknya berusaha, berdoa dan bertawakal bahawa setiap ujian itu lambat laun ada penyelesai­annya.

Begitu juga masalah besar lain seperti kemiskinan, pasti ada jalan keluarnya jika ditemani dengan usaha gigih dan idea kreatif untuk berjaya.

Pendek kata, setiap masalah itu ada penyelesai­annya. Yang penting, kita sebagai manusia jangan jadi pengecut berdepan cabaran seperti watak dalam filem Pendekar Bujang Lapok.

Penulis ialah Pengarang Berita Kanan Harian Metro

 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia