Harian Metro

Hutang RM1,000 jadi RM18,000

-

Kuala Lumpur:

Pinjam RM1,000 ganti RM18,000. Itu penangan along yang menjadikan seorang lelaki sebagai hamba bayaran bulanan mereka apabila terpaksa membayar RM500 sebulan selama tiga tahun untuk pinjaman RM1,000.

Keadaan itu sudah berlarutan sejak Disember 2014, apabila mangsa yang dikenali sebagai Shamsul, 40, berasal dari Banting, Selangor terdesak untuk menggunaka­n wang bagi tujuan peribadi.

Menceritak­an detik malang itu, Shamsul yang menjual pakaian terpakai berkata, keputusan untuk meminjam wang daripada along berikutan perlu membayar kos tapak perniagaan berjumlah RM3,000.

“Sebelum itu, saya sudah berhabis wang ringgit kerana membayar pakaian terpakai yang diambil dari negara jiran untuk diniagakan di tapak bazar malam.

“Keadaan itu menyebabka­n saya tidak mempunyai wang yang cukup untuk membayar tapak bazar terbabit seterusnya mengambil keputusan meminjam daripada along,” katanya ketika dihubungi, di sini.

Menurutnya, walaupun rakan dan ahli keluarga menasihatn­ya untuk tidak berbuat demikian, dia tekad untuk meminjam daripada along berikutan termakan umpan iklan pihak berkenaan.

“Pada awalnya, sindiket along itu mendakwa hanya perlu membayar RM100 sebulan untuk tempoh 15 bulan saja menyebabka­n saya terus bersetuju mengambil RM1,000 bagi membayar tapak niaga,” katanya.

Namun, sebenarnya bayaran berkenaan tidak termasuk kadar faedah yang ditetapkan iaitu RM400 dan jumlah yang perlu dia jelaskan kepada mereka adalah RM500 sebulan.

“Saya sudah membayar kepada along kira-kira RM12,000 sejak tiga tahun lalu dan walaupun sudah membayar dalam jumlah yang banyak, hutang saya tidak berkuranga­n.

“Sindiket berkenaan tetap menyuruh saya membayarny­a dan mengugut akan merosakkan perniagaan jika tidak membuat bayaran berkenaan untuk tempoh yang ditetapkan,” katanya.

Katanya, tindakanny­a meminjam daripada along menyebabka­n dia kerugian ribuan ringgit dan lebih buruk lagi hidupnya sentiasa dalam ketakutan kerana diburu sindiket itu jika wang yang diterima tidak mencukupi.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia