Harian Metro

RAYA TANPA INSAN TERSAYANG

- Aniza Zainudin anizazainu­din@hmetro.com.my

Tepat jam 6 pagi, telinga Muhammad Haikal Jefri ditarik bapa sebagai isyarat untuk bangun pagi dan bersiapsed­ia menunaikan solat sunat Aidilfitri.

Enggan mempedulik­an usikan bapa dan meneruskan mimpi indah, jeritan bapa yang mengatakan jam menunjukka­n 8 pagi berjaya membuatkan anak sulung lima beradik ini bingkas.

Menyarung baju Melayu lusuh tanpa tema warna tertentu, anak-beranak ini berkumpul dan bersila di atas lantai sambil menjamu nasi impit bersama kuah kacang yang menjadi santapan wajib di pagi lebaran.

Kini, rutin Aidilfitri tinggal memori yang utuh di hati anak muda berusia 18 tahun ini selepas pemergian kedua-dua ibu bapa, meninggal dunia selepas digilis lori dalam kemalangan langgar lari berhampira­n susur ke Cheras di Jalan Loke Yew, 23 Mei 2014.

Kemalangan membabitka­n Allahyarha­m Jefri Mohd Zain, 46, dan Noorsalawa­ti Ibrahim,

40, berlaku ketika mereka dalam perjalanan menuju ke tempat kerja pernah menggempar­kan negara apabila tragedi ini menjadikan lima beradik ini yatim piatu dalam tempoh masa yang sama.

Pertemuan bersama Muhammad Haikal turut disertai dua adiknya, Nur Syamimi, 5, dan Nur Auni Safia, 4, bersama ibu saudara yang memikul peranan sebagai penjaga, Zainah Mohd Zain, 47, manakala dua lagi, Fatin Adlina, 16, dan Muhammad Aidil, 12, pula tinggal di asrama.

“Ini tahun ketiga kami berpuasa dan berhari raya tanpa kehadiran mak dan ayah. Pastinya ketiadaan mereka memberi kekurangan buat kami adikberadi­k.

“Apabila datangnya Ramadan dan Syawal, pastinya membangkit­kan kenangan bersama mereka.

“Selalunya ketika bersahur berlaukkan ikan masin goreng, arwah ayah mesti tertidur sambil makan. Bila diingatkan ia sangat kelakar dan membuatkan saya lagi rindu padanya.

“Saya rapat dengan arwah ayah, selalunya saya menemaniny­a ke bazar Ramadan untuk membeli juadah berbuka puasa terutama roti John dan kuih pelita yang menjadi kegemaran kami sekeluarga.

“Manakala, gulai masak lemak ikan dan sambal belacan air tangan arwah mak adalah menu berbuka terbaik sepanjang Ramadan. Bayangkan hingga kini, saya masih teringatka­n keenakan masakan mak,” katanya sambil mengukir senyuman.

Keletah manja dua adik kecil yang tidak lekang di sisi anak muda ini mencuri tumpuan penulis dan jurugambar, malah ia membuktika­n hubungan rapat wujud antara mereka.

Menyedari kesederhan­aan kehidupan keluarga, Muhammad Haikal tidak pernah merungut mahupun mengeluh dengan kekurangan, sebaliknya kehadiran kedua-dua mak ayah menyempurn­akan erti kebahagian peribadiny­a.

Bagi Muhammad Haikal, menyarung baju raya lama atau tidak pernah membuat biskut raya adalah perkara biasa buat keluargany­a.

“Pernah sekali, adik yang lain mempunyai pakaian baru dan hanya saya tidak memiliki baju baru, arwah ayah sanggup berkorban dan membawa saya ke pasar raya untuk mendapatka­n pakaian baru.

“Selalunya selepas solat hari raya, kami sekeluarga berkumpul dan petangnya, kami pulang ke kampung ibu di Tanjung Malim dan ayah di Sungkai, Perak.

“Seperti dua tahun yang lalu, tahun ini kami menziarahi pusara arwah mak ayah di Sungkai,” ceritanya yang kini lebih positif menghadapi masa depan.

Berkongsi perkembang­an terkini, anak muda ini merancang untuk melanjutka­n pengajian dalam bidang teknikal dan ingin memikul tanggungja­wab menjaga adik-adiknya.

 ??  ?? MUHAMMAD Haikal (tengah) bersama dua adiknya, Nur Syamimi (kiri) dan Nur Auni Safia.
MUHAMMAD Haikal (tengah) bersama dua adiknya, Nur Syamimi (kiri) dan Nur Auni Safia.
 ??  ?? ZAINAH (kiri) memegang peranan sebagai penjaga kepada lima beradik yatim piatu ini.
ZAINAH (kiri) memegang peranan sebagai penjaga kepada lima beradik yatim piatu ini.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia