Harian Metro

Bakar semangat pertahan gelaran

- Omar Osman sukan@hmetro.com.my

Kulim: Kemenangan sulung Muhammad Fauzan Mohd Lutfi menjadi pembakar semangat kepada pelumba kebangsaan itu mempertaha­nkan juara keseluruha­n yang dimenangin­ya untuk dua tahun berturut-turut pada saingan Harian Metro Mountain Bike (MTB) Grand Prix 2016 ini.

Pada saingan Sirkit 1 di Kulim Hi-Tech Park, semalam, Fauzan yang mewakili pasukan SBS Giant-PDRM menguasai kategori Lelaki Terbuka dengan mencacat masa 1:25:10s mengatasi Mohd Nor Rizuan Zainal (KHS Factory Team ) 1:25:11s dan pelumba Thailand All Star, Amree Saya (1:26:47s).

Menurut Fauzan, 30, dia mendapat saingan hebat daripada pelumba lain terutama dari Thailand dan agak ketinggala­n di peringkat awal sebelum dapat meloloskan diri daripada kelompok besar untuk memintas semua pelumba termasuk Nor Rizuan ketika menuruni bukit pertama.

Katanya, biarpun cuba menjarakka­n diri dengan pelumba lain, dia diekori rapat Nor Rizuan dan Amree yang sentiasa berusaha memintas dan keadaan trek agak kering sedikit memudahkan­nya untuk mengekalka­n kedudukan di hadapan.

“Saya akui keadaan trek agak sukar, namun ini memberi kelebihan kepada saya untuk kekal di hadapan biarpun diekori rapat Nor Rizuan dan Amree, namun saya berjaya mengawal keadaan daripada dipintas mereka.

“Sasaran saya untuk muncul juara pada saingan Sirkit 1 sudah berjaya dan berharap dapat meneruskan rentak kemenangan pada perlumbaan seterusnya.

“Saya juga mengakui penyertaan beberapa pelumba Thailand All Star dan pasukan kebangsaan Thailang yang memiliki kemahiran tinggi amat bagus untuk dijadikan pengalaman pelumba tempatan,” tegasnya.

Justeru bagi menghadapi Sirkit 2 di Lukut, Negeri Sembilan dan Sirkit 3 di Johor nanti, dia berazam melipatgan­dakan usaha.

“Perlumbaan di dua sirkit itu pasti mencabar kerana bakal disertai ramai pelumba kebangsaan yang sebelum ini beraksi pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) ke-18 di Sarawak,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia